Dec 24, 2013

Mawar [3]

Masih awal benar ketika Taja kembali ke rumah. Semalam ,dia menumpang bermalam di rumah Edika. Mujur sahaja, Edika yang sebatang kara dan tinggal seorang itu tidak kisah bila dia menyuarakan hasrat untuk tinggal bersama. Edika cuma tidak bersetuju bila dia kata ingin membantu Mawar. Bagi Edika, cerita Mawar itu tidak masuk akal. Dunia masa depan? Itu semua karut!

Tapi bila Taja menyoal dia tentang keanehan bahasa dan pertuturan Mawar, Edika terdiam. Menurut Edika, memang gaya bahasa Mawar itu kedengaran janggal di telinga, malah cara Mawar berpakaian ketika mereka menemukan Mawar juga kelihatan aneh di matanya, tapi itu tidak membuktikan kalau dunia masa depan seperti yang didakwa Mawar itu wujud.

Di pihak Taja pula, jika Mawar bilang begitu maka Taja memilih untuk mempercayai Mawar. Namun bukan dengan mempercayai secara membabi buta. Taja mempercayai Mawar kerana jaminan yang Mawar beri. Orang yang cetek ilmu sekalipun tidak akan berani bersumpah dengan nama ALLAH. Maka sebab itulah, Taja memilih untuk beranggapan baik dengan Mawar.

Taja mendaki tangga, terus menuju ke dapur ingin menyapa ibunya. Tapi Ibu Halimah tiada di dapur. Dapur kayu itu kosong.

“Eh, Taja. Baru sampai?” Mawar muncul dari belakang rumah. Ditangannya ada cerek hitam yang selalu diguna ibunya untuk menjerang air.

“Ibu ke mana?” Tanya Taja masih berdiri di tempat yang sama.

Jika Ibu tiada di rumah, Taja ingat dia ingin turun ke laman. Tidak elok berdua-duaan dengan Mawar. Lagi-lagi dalam keadaan Mawar yang begitu. Kain batiknya disinsing hingga ke betis, menyerlahkan sebahagian kakinya yang putih melepak.

“Ibu Halimah kata, dia ke kebun kejap. Nak petik sayur.”

“Apa ibu yang meminta Mawar menjerang air?” Tanya Taja. Melihat Mawar yang sesekali berkerut dahi itu, Taja tahu kalau lukanya yang belum sembuh benar itu pasti terasa sakit.

“Eh, taklah. Saya yang nak buat sendiri. Saya nak mandi tadi, tapi air perigi tu sejuk. Saya tak tahan sejuk, sebab tu saya ingat nak jerang air dulu.” Terang Mawar laju.

“Kenapa tidak minta ibu sahaja yang jerangkan airnya? Luka Mawar kan sembuh benar.” Ujar Taja. Mawar kelihatan pucat, dahinya berpeluh.

“Saya yang nak guna, Taja. Jadi, biar saya yang buat. Lagipun, bukan susah nak jerang air.”

Mawar bergerak ke tepi dapur kayu. Duduk bertinggung dia memerhatikan dapur kuno kepunyaan Ibu Halimah. Baki puntung kayu api semalam di kuis-kuisnya dengan batang kayu. Cuba mengingati kembali cara-cara menghidupkan api yang dia belajar sewaktu perkhemahan Pengakap dulu. Alah, masih ada bara. Dia hanya perlu kumpul arang-arang yang ada untuk di jadikan bahan bakar nanti.

Nasib baik masih ada bara lagi. Kalau tak ada, nak hidupkan api macam mana? Rumah Taja ada minyak tanah ke? Ada mancis? Tak ada kut..

Taja yang berniat ingin berlalu mematikan hasrat bila melihat Mawar seperti terkial-kial. Mana mungkin gadis dari masa depan seperti Mawar boleh menghidupkan api dengan cara primitif seperti orang di zamannya. Sedangkan kapal sahaja pun sudah boleh terbang di dunia Mawar, mana mungkin mereka masih menggunakan cara kuno ini untuk menghidupkan api.

Taja baru ingin menghampiri Mawar, membantu gadis itu menghidupkan api. Tapi Taja menghentikan langkahnya. Dia berdiri beberapa langkah di belakang Mawar, berniat untuk memerhatikan dahulu Mawar dan hanya akan menghulurkan bantuan jika Mawar memerlukannya.

Mawar mengumpul baki bara api semalam, di tiup menggunakan batang buluh. Bila sudah ada sedikit api dari bara tadi, di susunnya puntung-puntung arang yang ada sebelum kayu api yang lebih besar di letak di atas arang. Kipas nipah dicapai, dikibarnya sedikit kuat hingga api semakin marak dan membakar kayu api yang paling atas. Cerek berisi air tadi diletak di atas besi yang di letak melintang.

Selesai kerjanya, Mawar bangkit. Terasa ngilu rusuk kanannya bila bangkit tiba-tiba tadi. Rasanya seperti terkena kejutan elektrik sahaja. Dengan sakit kepala, badannya yang masih terasa panas, Mawar terasa ingin kembali berbaring sahaja. Ah, sakit!

“Kenapa?” Tanya Mawar.

Taja dilihatnya memandang pelik cerek air yang baru dia jerang tadi. Kenapa? Cerek tu tak boleh buat jerang air ke?

“Tidak ada apa.” Taja menggeleng. Dia beredar ke ruang depan.

Taja ingin bertanya sebenarnya macam mana Mawar tahu cara menghidupkan api seperti orang dalam zamannya? Taja juga ingin tanya, apakah di dunia Mawar yang kapalnya sudah boleh terbang itu, mereka masih menggunakan cara di zamannya untuk menghidupkan api?

Tapi Taja tidak jadi bertanya. Bimbang  Mawar berkecil hati jika dia bertanya itu ini tentang tempat asal Mawar. Tempat asal yang masih menjadi misteri dan  kewujudunnya yang masih menjadi tanda tanya padanya.

“Tutup pintu Mawar, kita ingin menyusul ibu di kebun. Jangan buka pintu selagi kita dan ibu belum pulang.” Sempat Taja berpesan pada Mawar sebelum dia hilang di balik pintu utama.

“Okey.” Mawar mengangguk dalam senyuman.  Dia berpaling, melihat cerek yang dia jerang tadi. Airnya sudah hampir mendidih.

Sebenarnya, apa yang mengganggu fikiran Taja tadi?

*******************

Dari jauh lagi, Ibu Halimah sudah tersenyum melihat Taja.

“Assalammualaikum, ibu.” Taja menghampiri, tangan ibunya di salam. Kedua belah pipi ibunya, Taja kucup.

“Waalaikumussalam. Lena tidurnya semalam, nak?” Ibu Halimah menepuk perlahan bahu anak terunanya. Perlakuan Taja itu sangat menyenangkan hatinya.

Taja, guru silat yang di geruni oleh anak muridnya ketika di gelanggang. Namun bila bersama ibunya, dia kembali menjadi anak yang sangat manis kepada orang tuanya. Ibu Halimah selalu merasakan kalau dia sangat berbangga punya anak seperti Taja. Manis, selalu berbakti kepada orang tuanya, malah seorang yang taat pada agama.

Sayang sahaja, hati anak terunanya belum terbuka untuk berumah tangga. Sedangkan dia, sebagai seorang ibu ingin benar melihat Taja berkahwin. Dia tidak akan hidup selamanya untuk menemani Taja hingga ke tua.

“Alhamdulillah, lena bu.” Taja senyum.

Dia melirik kearah bakul rotan ibunya. Ada ubi manis, jagung, dan beberapa ikat pucuk sayur. Selalunya, jika Ibu Halimah memetik sayur dan mencabut ubi dalam jumlah yang banyak begitu, dia yang akan ke pasar untuk menjualnya. Hidup mereka bergantung pada hasil tani, dan hasil laut. Tapi Taja tidak sering ke laut, dia bimbang meninggalkan ibunya sendirian di rumah. Taja selalunya mengambil upah membuat atau membaiki rumah penduduk kampung.

“Ini apa, ibu?” Taja tunduk.

Di salah satu bakul rotan ibunya, ada beberapa jenis akar kayu, daun–daun malah pucuk kayu hutan. Dia tahu ibunya bidan kampung ini, tapi dia tidka dengar pula ada orang melahirkan anak semalam atau beberapa hari lepas.

“Ubat untuk Mawar. Semalam, tidurnya tidak lena. Hingga ke subuh dia meracau dalam tidur, mungkin disebabkan oleh badannya yang panas.”

Semalam, lenanya terganggu bila Mawar tiba-tiba sahaja menjerit dari bilik sebelah. Tergesa-gesa dia mendapatkan Mawar bila jeritan itu sudah bertukar dengan tangisan. Berulang kali dia mengejutkan Mawar, namun Mawar tidak juga jaga. Bila tangannya melekap di dahi Mawar, terasa benar panasnya yang membahang. Mujur sahaja, panas badan Mawar turun beberapa ketika selepas dia menuam dahi Mawar dengan daun Bunga Raya yang diramas halus. Alhamdulillah, menjelang subuh, demam Mawar semakin kebah.

“Mawar meracau dalam tidur?” Taja mengerutkan dahi.

Seingatnya, sewaktu Mawar bertarung antara hidup dan matinya kerana kehilangan banyak darah akibat luka beberapa hari yang lepas, Mawar tidak meracau. Mawar hanya tidur, kaku seperti mayat hidup. Kenapa Mawar meracau agaknya? Apa yang bertandang dalam tidur Mawar, yang mengganggu lenanya?

“Iya. Ibu tidak pasti benar yang Mawar racaukan, ibu kurang faham bahasa yang Mawar tuturkan.” Terang Ibu Halimah.

“Tapi ibu ingat, Mawar ada menyebut nama seseorang.” Tambah Ibu Halimah.

Semalam, ketika Mawar meracau dia perasan Mawar ada menyebut nama seseorang. Mawar meminta orang itu supaya lari dan jangan sampai tertangkap. Siapa orang itu, tidak pula Mawar menyebutnya.

“Siapa, ibu? Nama siapa yang Mawar sebut?”

“Mayesa. Jika ibu tidak silap, namanya Mayesa. Mawar menyuruh supaya Mayesa itu lari, jangan sampai tertangkap.”

Taja mengerutkan dahi mendengarkan kata-kata ibunya.

Mayesa? Siapa Mayesa? Adakah Mayesa itu sebenarnya adalah Mawar? Tapi jika Mawar adalah Mayesa, kenapa Mawar meminta dia lari? Dan kenapa Mayesa perlu lari? Siapa yang mengejar Mayesa, yang ingin menangkap Mayesa?

“Mawar ada pernah cerita pada Taja tentang Mayesa?” Tanya Ibu Halimah bila melihat Taja diam.

“Tidak ada ibu.” Taja menggeleng. Dia pun baru mendengar nama itu pagi ini, bukan dari mulut Mawar tapi mulut ibunya.

“Kasihan sungguh ibu melihat Mawar semalam.” Ibu Halimah mengeluh.

Luluh hatinya melihat Mawar yang menangis teresak-esak. Luruh naluri keibuannya bila mendengar Mawar merintih meminta tolong, memohon simpati dalam esak tangis. Airmata Mawar umpama air hujan yang jatuh ke pipi.

Taja memeluk bahu ibunya, menggosok perlahan lengan ibunya. Taja tahu kenapa ibunya berperasaan begitu. Adiknya Anom, meninggal beberapa tahun yang lepas kerana dipatuk ular. Jika Arwah Anom masih hidup, dia pasti sebaya Mawar.

“Pasti ibu Mawar merindukan anak gadisnya.” Ibu Halimah mengesat airmata yang ingin mengalir. Tidak mahu jika Taja melihat airmatanya. Dia tidak mahu Taja ikut bersedih.

“Tidak apa bu, kita akan bantu Mawar hingga dia bisa kembali ke dunia masa depannya. InsyaALLAH.” Taja senyum, menyedapkan hati tua ibunya dengan kata-katanya.

Ibu Halimah menepuk perlahan bahu Taja, mengangguk. Tangannya diletak di pipi Taja, mengusap perlahan pipi Taja sambil tersenyum.

“Ibu tidak tahu apa jadi pada ibu, jika ibu tidak punya kamu, Taja.” Ujar Ibu Halimah beremosi.

Taja membalas senyuman ibunya, menarik tangan ibunya di pipi dan lalu dibawa ke bibir. Dikucup tangan ibunya. Kasihnya dia pada ibunya, hanya ALLAH yang tahu. Sejak ayah dan adiknya meninggal, hanya mereka berdua yang tinggal. Saling bergantung harap dan berkongsi segala susah dan senang.

“Ayuh bu, kita pulang. Matahari sudah tinggi, Taja harus ke pasar menjual dagangan ibu.” Taja mengangkat bakul rotan berisi ubi; jagung dan sayur, di pikulnya di bahu. Bakul berisi daun-daun ubatan untuk Mawar pula di jinjitnya sahaja.

“Ayuh.” Ibu Halimah mengangguk. Bakul rotan di tangan Taja di ambil.

“Ini, biar ibu yang bawa.” Ibu Halimah mula melangkah, meninggalkan kawasan kebunnya yang tidak sebesar mana.

Taja senyum. Dia ikut melangkah, menyaingi langkah ibunya. Sesekali mereka berbual, bergelak ketawa dan saling mengusik seperti pasangan kekasih. Namun fikiran Taja masih menerawang, cuba mencari jawapan dan perkaitan.

Siapa Mayesa? Apa hubungan Mawar dengan dia?

Balik nanti, Taja ingin bertanyakan hal itu kepada Mawar. Mungkin, ini titik kepada permulaan dalam pencarian mereka untuk membantu Mawar pulang ke dunia masa depannya.

*******************

Mawar mengetap bibir. Peluh dingin memercik dari dahinya. Balutan kain yang melilit di badan dan bahunya di buka perlahan-lahan, terasa ngilu.

“Ah, sakit!” Makin kuat bibirya di ketap. Terasa mencucuk sakitnya bila Mawar tersalah sentuh tadi. Seberapa terukkah lukanya hingga dia rasa sakit begini?

“Nasib baik, aku hidup lagi.” Mawar beristighfar dalam hati sebaik melihat lukanya bila semua balutan kain itu sudah dibuka.

Lukanya hampir tiga inci dalamnya. Hampir sejengkal panjangnya. Nasib baik tidak tembus hingga ke belakang. Nasib baik juga, tidak mencederakan mana-mana organ dalamannya. Kalau luka itu terkena jantungnya, mungkin sudah lama dia arwah.

Ibu Halimah kata, dia kehilangan banyak darah hari tu. Dia dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sewaktu Taja dan Edika membawa dia pulang ke rumah. Dia berlumuran darah, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Mujur sahaja Taja dan Edika yang sedang membuat rondaan di sekitar kampung terjumpa dia. Kalau tak? Membusuklah dia hingga mereput di kaki bukit sana.

Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH, dia masih bernafas hingga ke hari ini.

Air bercampur garam di dalam bekas ditarik, biar rapat dengan dia. Kain bersih untuk membalut luka juga diletak di sebelah bekas air tadi. Jarinya dicelup, memastikan kalau air garam yang tadinya panas sudah turun suhunya.

Sedikit hangat. Tapi, kira okeylah.

Kain yang berlipat di celup masuk ke dalam air garam. Diperah, dan perlahan di lekap di 
lukanya.

“Ahh..” Menyeringai Mawar bila air yang sedikit hangat bercampur garam itu menyentuh luka. Sedikit pedih.

Mujur sahaja, lukanya semakin kering. Kalau bukan sebab akar-akar kayu yang Ibu Halimah letak, jangan haraplah luka sedalam itu akan kering dalam masa beberapa hari. Pasti sakitnya lagi teruk berbanding sekarang jika dia mencuci lukanya dengan air garam dengan keadaan luka yang masih baru.

“Tahan Mawar, tahan.” Mawar mengetap bibir, cuba memberikan semangat pada diri sendiri.

Jika tidak memikirkan kemungkinan lukanya itu akan dijangkiti kuman, tidak ingin dia menanggung sakit begini. Tapi, adalah baiknya dia membersihkan lukanya setiap hari dengan cara begini daripada kelak luka itu dijangkiti kuman. Bernanah dan berdarah kembali. Eh, tak nak dia!

“Aku bet, luka ni mesti akan tinggal parut.” Mawar mengusap perlahan lukanya yang sudah kembali berbalut.

Tanpa jahitan, luka sebesar itu mungkin akan memakan masa yang lama untuk sembuh. Ia juga pastinya akan meninggalkan parut besar di badannya. It’s okey, yang penting aku hidup lagi. Lagipun, jika dia mahu, di dunia masa depannya sana, parut begini bukanlah satu masalah yang besar. Orang nak muka baru pun boleh buat, inikan setakat nak buang parut.

“Tapi, macam mana aku boleh luka sampai macam ni sekali?” Sekali lagi, Mawar meraba tempat lukanya.

Ini bukan luka terkena tembakan. Kalau ini luka tembakan, mesti Ibu Halimah ada jumpa peluru ketika merawat dia dulu. Tapi, Ibu Halimah tidak jumpa apa-apa. Lagipun, lukanya panjang. Seperti dicantas dengan sesuatu.

“Dicantas?” Gila, ingat badan aku ni rumput ke nak main cantas-cantas? 

But wait, ada orang nak bunuh aku ke? Eh, takkanlah. Takkanlah ada orang nak bunuh aku kut? Atau pun, ada penculik culik dia kemudian minta wang tebusan. Bila keluarga dia tak nak bagi, penculik tu cuba nak bunuh dia. Kemudian, dia lari dan cedera. Begitu?

Ah, mustahil! Mawar tak rasa dia cukup kaya di dunia masa depannya hingga dia menjadi mangsa culik.

“Tapi, siapa perempuan tu? Kenapa lelaki-lelaki tu kejar dia?” Mawar teringat mimpinya semalam.

Dalam mimpinya, dia melihat seorang perempuan di kejar oleh beberapa orang lelaki. Dia tidak kenal siapa perempuan itu, wajahnya samar-samar. Wajah lelaki-lelaki yang mengejarnya juga samar. Dia ingat, dia seolah berdiri di tepi jalan raya dan memerhatikan lelaki-lelaki itu mengejar perempuan tersebut.

Dia cuba membantu, tapi kakinya seperti melekat di tanah. Tidak boleh bergerak langsung. Akhirnya, dia hanya menangis bila melihat perempuan itu jatuh dan lelaki-lelaki itu berjaya menangkapnya. Sebaik lelaki-lelaki itu berjaya menangkap perempuan tersebut, pipinya ditampar bertalu-talu. Dia menjerit meminta tolong, tapi tiada siapa yang mendengar jeritannya. Malah, lelaki-lelaki itu juga seolah tidak sedar akan kewujudannya.

“Kenapa aku emosi tengok perempuan tu. Apa kaitan mimpi aku semalam dengan punca aku berada kat sini?” Mawar menggigit hujung baju kurung.

Dia buntu mencari jalan keluar kepada masalahnya. Dia tahu pasti ada sesuatu pada mimpinya semalam. Ia bukan sekadar mimpi, ia lebih kepada ‘déjà vu’ baginya. Seolah dia pernah menyaksikan kejadian itu. Tapi di mana? Bila?

“Ah.. Rumitnya.” Mawar mengeluh.

Dia menarik kedua belah kakinya rapat ke dada. Kepalanya menyentuh lutut. Beberapa titis airmata jatuh di pipi. Sesaat kemudian, dia menangis teresak-esak untuk kesekian kalinya.

‘Aku mau pulang..'

***********************

Korang Comel Kalu Korang Like

3 comments:

eija said...

cian kt mawar..arap taja dapat mbntu..

Unknown said...

Lain dr yg lain.... X sabar nk bc next n3...

Anonymous said...

Sambung cepat ni, suka baca.