Dec 5, 2013

Mawar [1]

Tanah tempatnya berbaring terasa basah, rintik-rintik hujan yang jatuh ke pipi terasa mencucuk dinginnya hingga ke daging. Dia cuba bangun, namun seluruh anggota tubuhnya terasa sakit. Bah kan, untuk menggerakkan jarinya sahaja dia tidak mampu. Sakit, seolah semua tulang dalam badannya sudah hancur dan tidak mampu menongkat tubuhnya lagi. Bau hanyir darah terasa mencucuk-cucuk hidungnya.

‘Kenapa aku ada kat sini? Aku dah nak mati ke?’

Hela nafasnya semakin perlahan, malah degupan jantungnya semakin perlahan rentak iramanya. Matanya sudah semakin layu. Sayup-sayup, dari kejauhan dia mendengar suara manusia saling bertingkah. Malah, jelas di telinganya bunyi hentakan kaki ke tanah. Ada cahaya yang sedang menuju ke arahnya. Sedikit cahaya yang membawa petanda yang baik buatnya. Mungkin, pasukan penyelamat sudah tiba!!

“Di sini, di sini.”

Suara seseorang kedengaran hampir di telinganya.

“Siapa?”

Suara seseorang yang lain kedengaran. Dalam tahap fikiran bawah sedarnya, dia yakin bukan seseorang yang menemukan dia di sini. Mungkin dua orang, mungkin juga lebih.

“Tidak tahu Taja. Tapi nampak gayanya, seperti seorang perempuan.”

‘Taja? Siapa Taja? Mereka bukan dari Rescue Team ke?’

“Nampaknya, dia cedera. Badannya penuh luka.”

Beberapa saat kemudian, dia terasa lengannya di sentuh. Menyeringai dia kesakitan bila sentuhan itu terkena di bahagian lengannya yang terluka. Di tambah lagi dengan rintik hujan yang semakin lebat menambahkan pedih yang semakin tidak tertanggung setiap kali titis-titis air itu mengena di tubuhnya.

“Siapa dia Taja? Musuh atau sahabat?” Lelaki yang pertama menemuinya bersuara.

“Kita tidak tahu, kita juga tidak mengenali perempuan ini. Tapi sepertinya, dia memerlukan bantuan.”

‘Aku bukan orang jahat. So, siapa pun korang tolong selamatkan aku. I’m dying here!!’

Perlahan, dengan sisa kudrat yang masih ada dia membuka matanya. Dibawah sinaran bulan, samar-samar figura dua manusia sedang duduk berlutut di hadapannya. Seorang sedang memeriksa keadaannya, seorang lagi sedang memegang ap.. Obor?

“To.. To.. Tolong sa.. ya..”

Dan sebelum matanya tertutup rapat, dia lihat lelaki yang sedang memegang obor di tangan pantas berdiri menerpa dia hadapannya. Ketika itulah dia melihat dengan jelas lelaki yang sedang duduk berlutut di sisinya.

‘Tolonglah, katakan ini semua hanya mimpi.’


***************

Matanya di buka, silau matahari dari balik dinding menyapa wajah. Silau yang terbias di bilik berdindingkan kayu itu membuktikan kalau dia masih hidup. Perlahan, dia cuba bangun dan bersandar pada dinding. Kepala yang masih terasa sakit di pegang. Berbalut. Lengannya juga berbalut. Rusuk sebelah kanannya terasa sakit setiap kali dia cuba menarik dan meghembus nafas. Mungkin, ada tulang rusuknya yang patah.

‘Aku kat mana?’

Tersedar di satu tempat yang asing dengan luka yang ada hampir di setiap tubuhnya bukanlah sesuatu yang dia inginkan. Di pejam celik matanya berkali-kali, berharap kalau dia cuma bermimpi. Tapi sayang, sekalipun dia memejamkan matanya berkali-kali keadaan tetap tidak berubah. Pipi yang di cubit berulang kali juga terasa sakit.

Ini bukan mimpi!!

Matanya meliar ke segenap ruang bilik yang kosong. Cuma ada satu rak kayu di hujung sudut bilik. Tidak ada katil mahupun tilam. Tadi, dia hanya berbaring di atas tikar mengkuang dengan kain sarung sebagai alas. Di dinding kayu, ada pelita tergantung.

Pelita? Teringatkan pelita, dia terus teringat pada dua lelaki semalam yang sudah menyelamatkannya. Di mana mereka?

Matanya sekali lagi meliar ke sekeliling ruang bilik. Dia masih bingung, dia tidak tahu apa yang dia cari. Kepalanya masih terasa sakit. Ada sesuatu yang tak kena dengan tempat ni. Kenapa suasananya terlalu asing?

‘Ah, mungkin aku diselamatkan oleh orang asli.’ Dia cuba bersangka baik.

Ingatannya kembali ke kejadian semalam. Dia ingat dia cedera, kemudian dia diselamatkan oleh dua orang lelaki yang salah seorangnya bernama Taja.

Tapi, kenapa dia ada di tempat itu? Kenapa dia cedera? Siapa dia?

Dia tidak ingat apa-apa selain itu!!

Taja!! Ya, dia mesti mencari Taja. Mungkin Taja tahu sesuatu tentang dia, atau mungkin Taja ada terjumpa apa-apa barang berkaitan tentangnya di tempat kejadian, atau mungkin..

Apa-apalah, yang penting dia harus mencari lelaki bernama Taja itu!

Dia bangkit, terasa kakinya masih lemah. Namun dikerahnya juga kudratnya yang masih bersisa. Ketika itulah dia perasaan pakaiannya sudah bertukar. Baju kurung kedah dan berkain sarung.

Oh my, it’s not me! Dia mana pernah pakai kain sarung batik!!

Dia melangkah keluar dari bilik, di ruang tamu dia hampir berlanggar dengan seorang wanita separuh umur yang sedang membawa dulang makanan menuju ke biliknya.

“Anak mau ke mana? Lukanya kan belum sembuh.” Wanita separuh umur itu bersuara sambil cuba menahannya yang terkapai-kapai seolah cuba melarikan diri.

Dia yang dalam kebingungan tidak mengendahkan panggilan wanita separuh umur itu. Di fikirannya cuma satu, dia ingin mencari Taja!

Dia pantas berlari menuju ke pintu, namun langkahnya terhenti sebaik kakinya melangkah ke anjung rumah. Di hadapannya berdiri seorang lelaki.

Taja!!

Ya, dia ingat lelaki inilah yang dia lihat semalam sebelum dia pengsan. Lelaki yang berpakaian persis pendekar Melayu di zaman dahulu kala, seperti yang dia selalu nampak di kaca TV. Di halaman rumah, ada berpuluh-puluh pasang mata sedang memerhatikannya. Semuanya berpakaian seperti lelaki di hadapannya ini.

Apa ni, penggambaran filem Hang Tuah ke?

“Nama kau Taja?” soalnya.

“Iya, kita yang bernama Taja. ” Lelaki yang mengaku Taja itu mengalihkan pandangannya ke sisi.

“Kita Halimah, ibu Taja.” Wanita separuh umur tadi yang hampir dilanggarnya menghampiri. Berdiri di sisinya dengan kerutan di dahi. Mungkin hairan melihat tingkah laku kasarnya pada anak terunanya itu.

“Saya kat mana? Where’s the hell I’am?!” Dari sisi, dia lihat dahi lelaki yang bernama Taja itu berkerut.

“Melaka, tempat ini namanya Melaka.” Meskipun berasa hairan dengan tingkah perempuan di hadapannya, Taja tetap menjawab soalan perempuan itu dengan tenang.

“Oh, thank God.” Perlahan dia melurut jatuh ke lantai.

Syukur, dia bukan berada di tempat yang asing. Melaka, tak jauh nak balik ke Kuala Lumpur! Dia yakin, jika dia kembali ke Kuala Lumpur dia akan tahu apa yang terjadi pada dia. Kenapa dia cedera dan siapa dia.

“Maafkan kita jika kita terkasar bahasa. Kita cuma mau tau, saudari ini siapa?” Giliran Taja bertanya.

Mendengar bahasa asing yang baru keluar dari mulut gadis itu membuatkan Taja yakin kalau gadis itu bukan berasal dari sini.

“Saya.. nama saya..” Dia tak ingat siapa dia! Nama dia pun dia tak ingat.

“Mawar! Nama saya, Mawar.” Automatik, nama itu meluncur di bibirnya bila melihat kuntuman bunga-bunga mawar di halaman rumah.

“Jikalau begitu, di mana kampung saudari? Apa kita boleh tau?” Tanya Taja lagi.

Sesekali Taja berbalas pandang dengan ibunya yang berada di sisi gadis yang bernama Mawar itu. Mungkin ibunya juga seperti dia, bingung dengan bahasa pertuturan yang di gunakan oleh gadis itu. Bunyinya kedengaran asing di telinga mereka.

“Kuala Lumpur. Saya nak balik Kuala Lumpur. Awak tahu mana airport? Boleh hantar saya ke sana?” Mawar bingkas bangun, tangan Taja di raihnya. Taja yang terkejut pantas menepis.

“Maafkan saya, saya tak sengaja.” Mawar yang terkejut, tersengih.

Ah, so sweet! Ni barulah lelaki boleh buat laki!

“Kuala Lumpur? Kita tidak tahu di mana tempat itu. Tapi, jika saudari Mawar boleh tunjukkan jalan, kita boleh kerahkan orang untuk menghantar saudari Mawar kembali ke kampung halaman. Apa saudari Mawar ingat jalan untuk ke sana?” Taja yang sudah bergerak sedikit menjauh dari Mawar bertanya.

Airport? Apakah itu juga nama bagi sebuah tempat?

“Kuala Lumpur? Awak tak tahu di mana Kuala Lumpur? Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia! Malaysia, awak tahu tak Malaysia kat mana?” Hendak tergelak Mawar mendengar soalan Taja.

Mungkin sebab lama sangat menuntut ilmu silat dalam hutan, Taja dah ketinggalan oleh pembangunan. Patutlah suasana rumah dan orang-orang di sekeliling Taja nampak pelik. Haiya, apalah yang pak-pak menteri buat ni sampaikan masih ada yang rakyat yang tercicir dari segi pembangunan.

“Tidak. Kita tidak tahu.” Jujur Taja mengakui.

“Malaysia itu negara kita, Kuala Lumpur ibu negara Malaysia. Melaka, salah satu negeri yang ada di dalam Malaysia. Awak tahu tak siapa Perdana Menteri Malaysia?”

“Kita tidak tahu.” Taja menggelengkan kepala.

Semakin banyak yang keluar dari mulut Mawar, semakin yakin Taja kalau Mawar bukan berasal dari sini. Atau mungkin saja, Mawar bukan berasal dari dunia mereka?

Siapa Mawar? Kenapa bahasa pertuturannya kedengaran asing? Pakaian yang dipakai Mawar ketika mereka menemuinya juga tidak seperti penduduk tempatan. Malah, saat ini Mawar berbicara tentang sesuatu yang dia tidak tahu akan kewujudunnya.

“Ketua Menteri Melaka, awak tahu tak siapa?” Kalau cakap tak tahu juga, memang wajiblah dia menyekolahkan Taja. Mawar dah geleng kepala. Ada juga orang yang ketinggalan zaman macam Taja ni.

“Melaka tidak punya Ketua Menteri, saudari Mawar.” Tenang Taja menjawab. Benarlah seperti yang dia duga, Mawar bukan berasal dari sini.

“Melaka tak ada Ketua Menteri?” Giliran Mawar yang kebingungan.

“Iya, benar.” Taja mengiyakan.

“Siapa yang memerintah Melaka?” Suara Mawar bergetar. 

Kalau bukan Ketua Menteri, Sultankah yang memerintah Melaka? Sultan? Kalau begitu..

Mawar bangun, berlari dia menuju ke halaman rumah. Matanya meliar memandang sekeliling. Rumah papan beratap nipah yang di tumpangnya semalam, di kelilingi oleh pokok-pokok kelapa, tidak jauh letaknya dari pantai. Di kiri kanan rumah itu, ada beberapa buah rumah yang rekaannya hampir sama dengan rumah Taja.

Jantung Mawar berdegup kencang. Dia memandang sekeliling, dan di ruang matanya sebuah perkampungan nelayan di pinggir laut jelas kelihatan. Perkampungan itu besar, seluas mata memandang.

Ini bukan set penggambaran!!

“Duli yang Maha Mulia Sultan yang memerintah Melaka, nak Mawar.” Ibu Taja yang mengekorinya turun ke tanah menghampiri.

Mendengar kata-kata Ibu Taja itu, kaki Mawar menjadi lemah. Jatuh terduduk di tanah dengan degupan jantung yang semakin menggila.

“Siapa nama sultan yang memerintah sekarang ni, makcik?” Tangan Mawar menggengam tanah tempatnya jatuh. Tolonglah, katakan tekaannya salah belaka.

“Tuanku Sultan Mahmud Shah. Kenapa Mawar?” Ibu Taja yang melihat tingkah pelik Mawar perlahan memeluk Mawar yang kelihatannya semakin lemah.

Berita apakah yang membuatkan anak ini terkejut seperti di sampuk hantu? Badannya menggeletar seperti baru mendengar sesuatu yang menakutkan.

Sultan Mahmud Shah? Tahun 1488 hingga 1511? Ya Allah, apa semua ni? Apa yang terjadi?

‘Aku merentas masa ke?’

Mata Mawar berkaca, tangisannya pecah, dan dia terkulai dalam pelukan ibu Taja.

*****************

Taja berdiri di anak tangga yang paling atas. Sekadar memandang dari jauh ibunya yang sedang mententeramkan Mawar.

“Taja, siapa perempuan itu? Apakah kau sudah dapat tahu tentang asal-usulnya?”

Edika, sahabat baiknya menghampiri. Edika ada bersamanya ketika mereka berdua menemui Mawar beberapa hari yang lepas. Mereka sedang mengadakan kawalan malam ketika mereka berdengar bunyi yang kuat yang datang dari arah kaki bukit di hujung kampung. Mawar mereka temui dalam keadaan berlumuran darah dan cedera parah sebelum mereka memutuskan untuk membawa Mawar pulang ke rumah dan di rawat oleh ibunya.

“Bilangnya, namanya Mawar dan dia berasal dari Kuala Lumpur.” Terang Taja.

“Kuala Lumpur? Di manakah gerangannya tempat itu? Aku tidak pernah mendengarnya.” Edika mengerutkan dahi.

“Kita pun tidak tahu. Pastinya, tempat itu jauh dari sini.” Taja menggelengkan kepala.

“Yang pastinya, dia bukan penduduk kampung kita kan?” Tanya Edika lagi.

Dia melihat dari jauh perempuan yang mereka selamatkan beberapa hari yang lepas. Dia masih curiga dengan perempuan itu, masih tertanya-tanya akan kehadirannya di kampung mereka dengan tiba-tiba.

“Mungkin, dia juga bukan berasal dari dunia kita.” Taja menggumam rendah.

“Kau bilang apa tadi, Taja?” Edika tidak dapat menangkap kata-kata Taja, suara Taja kedengaran perlahan di telinganya tadi.

“Tidak ada apa-apa. Kumpulkan mereka semuanya, katakan bahawa kalau latihan silat hari ini cukup sampai di sini. Mereka boleh pulang.” Taja senyum, menepuk perlahan bahu sahabatnya sebelum beredar menuju ke tengah laman.

“Ibu, bawa Mawar masuk. Tidak manis jika dilihat oleh mereka keadaan Mawar begini.” Taja membuka ikatan kain di pinggangnya, dia lapiknya kepala Mawar yang terdedah.

Ibu Halimah mengangguk, Mawar yang masih menangis dalam pelukannya perlahan dibawa berdiri. Terhenjut-henjut langkah mereka menuju ke atas rumah.

**************

“Perlu apa kita berada di sini Taja?” Edika memandang sekeliling. Dia tidak tahu kenapa Taja mengajaknya ke kaki bukit, di tempat mereka menemukan Mawar.

“Mencari bukti.” Taja juga memandang sekeliling.

“Bukti? Bukti apa?” Edika kurang faham maksud Taja. Bukti tentang Mawar? Begitu?

“Kita tidak tahu Edika. Kita juga kurang tahu apa yang kita cari.” Taja menghembus nafas perlahan. Dia jujurnya tidak tahu di mana harus bermula untuk mencari tahu tentang Mawar.

“Kalau kita tidak tahu apa yang kita cari, maka tiada gunalah kita ke sini. Ayuh kita pulang sahaja Taja, perut ku sudah lapar.” Edika mengusap-usap perutnya. Sejak pagi tadi, hanya secawan kopi yang sempat dia teguk.

Taja hanya diam, dia berdiri di tempat mereka menemukan Mawar dengan rumputnya yang masih ada sedikit kesan darah. Permintaan Edika tidak di hiraukan. Dia berdiri tegak, matanya memandang di kejauhan. Bukit di hadapannya direnung.Apa yang ada di sebelah sana? Apakah Kuala Lumpur itu letaknya di sana? Apakah Mawar berasal dari sana? Apa yang perlu aku lakukan untuk mengembalikan Mawar ke tempat asalnya?

Dan, siapakah Mawar? Kenapa dia boleh berada di sini?


******************

Dua tiga menjak ni, saya asyik tengok drama merentas masa sahaja hingga terbawa-bawa ke mimpi. Saya tak tahu kalau saya mampu, tapi saya tetap nak cuba menulis novel trhiller. 

Sebarang kesalahan, sila tegur saya. Sebarang cadangan, sila bagitahu saya. Okei :)



Korang Comel Kalu Korang Like

1 comment:

Asyu said...

bestttt~!! Good luck hehehe..