Hari ini, Kuala Lumpur. Hari pertama kehilangan Mayesa.
Suhu penghawa dingin di turunkan, selimut tebal di tarik hingga ke paras dada. Dulang berisi ubat dan air masak di capai, di bawa keluar.
"Nenda dah tidur? Macam mana keadaan Nenda?"
Mahfiz yang dulu bertanya sebaik batang tubuh Cik Mun keluar dari bilik Tengku Diah. Mazlan dan Munir juga menerpa ke arah Cik Mun dan Mahfiz. Semuanya tertunggu-tunggu mendengar berita tentang Tengku Diah yang pengsan pagi tadi sebaik mendengar tentang berita tentang Mayesa yang berkemungkinan hilang kerana diculik.
"Sudah beransur tenang. Cik Mun bagi Tengku minum ubat tenang, Tengku mungkin akan tidur hingga ke petang. Jadi, awak bertiga janganlah bimbang." Ujar Cik Mun, tenang.
"Baguslah." Mazlan melepaskan keluhan.
Lepas satu, satu musibah yang menimpa keluarga mereka. Si Adik hilang tanpa berita, dan sekarang Nenda pula yang terlantar sakit. Angkara siapa semua ini?
"Saya minta diri dulu, saya kena selesaikan beberapa urusan. Sebelum tengah hari saya balik sini semula." Cik Mun meminta diri, meninggalkan tiga beradik itu berbincang di hadapan pintu bilik Tengku Diah.
"Abang Lan dan Abang Nir pergilah kerja, biar Fiz duduk sini jaga Nenda." Mahfiz menawarkan diri.
Dia yang memang berjiwa bebas itu dari dulu lebih senang berkerja sendiri. Masanya lebih banyak di habiskan di negara orang, mengumpul moment-moment indah bila dia mengambil keputusan untuk menjadi jurugambar profesional.
"Kalau ada apa-apa, cepat-cepat call abang . Abang nak ke klinik sekejap, selesaikan apa yang patut. Lepas balik kondo, abang balik sini." Perlahan di tepuk Mazlan bahu si adik.
Mahfiz mengangguk. Dia faham, bukan sikap abang sulungnya itu meninggalkan kliniknya begitu sahaja. Pasti ada sesuatu yang perlu abangnya selesaikan sebelum sepenuhnya menumpukan perhatian pada musibah yang sedang menimpa mereka sekeluarga sekarang.
Lagipun, memang tidak ada apa-apa yang boleh mereka lakukan sekarang ini melainkan menunggu khabar dari orang-orang Nenda yang sudah dikerah mencari waris tunggal Emas Holdings.
"Abang Nir kena masuk office. Ribut nanti kalau ahli lembaga pengarah Emas Holdings tahu Adik hilang. Abang kena ada kat sana, pastikan semuanya berjalan lancar. Kejap lagi, abang nak jumpa Cik Mun, nak bincang apa yang patut." Munir meraup muka, lemah suaranya.
Terasa beban di bahunya semakin berat bila bercakap soal Emas Holdings. Mesyuarat lembaga pengarah yang dijadual bersidang minggu hadapan mungkin akan mengalami masalah jika Tengku Mayesa tidak muncul. Di mana harus dia cari si adik yang tiba-tiba hilang tanpa jejak?
"Okey, jangan risau. Fiz jaga Nenda, apa-apa nanti Fiz call." Mahfiz memandang kedua abangnya, meyakinkan mereka berdua kalau tiada apa yang perlu dirisaukan selagi dia ada di sisi Nenda.
Mazlan mengangguk, menepuk perlahan bahu Munir dan Mahfiz sebelum berlalu tanpa suara. Terasa berat kakinya, namun digagah juga langkah yang terasa semakin lemah. Dia harus selesaikan semua urusan berkaitan kliniknya hari ini sebelum berpindah tinggal di Vila bersama Nenda sehingga Mayesa berjaya di temui.
Mereka sekeluarga harus bersatu hati, sama-sama menghadapi musibah ini. Sebagai abang yang paling tua, dia harus menjadi ketua yang baik kepada adik-adiknya. Itu tugasnya sebagai anak sulung.
"Abang Nir nak cari Cik Mun sekejap. Lepas ni, abang terus masuk office. Malam nanti, abang balik sini," Giliran Munir meminta diri, semuanya harus diselesaikan dengan segera.
Berita kehilangan Mayesa harus dirahsiakan buat sementara waktu, begitu pesan Nenda tadi. Sekarang, dia harus kembali ke pejabat dan memastikan semuanya berjalan lancar tanpa ada cacat cela yang boleh dijadikan isu oleh ahli lembaga pengarah Emas Holdings untuk menuding jari ke atas kepimpinannya dan juga Nenda.
Melihat Munir yang juga sudah berlalu, Mahfiz mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor seseorang di dail. Sementara menunggu panggilannya bersambung, matanya melilau di setiap ruang tingkat atas vila Tengku Diah. Sekadar langkah berjaga-jaganya, dia tidak ingin ada orang yang mendengar perbualannya dengan orang di hujung talian.
"Aku nak kau buat sesuatu untuk aku."
Tegas suara Mahfiz mengarahkan orang di sebelah sana. Dia tidak punya banyak masa, dia harus segera memastikan orang yang dihubunginya itu segera melaksanakan arahannya. Jika tidak, sesuatu yang buruk mungkin akan berlaku.
Dan dia, tidak mahu itu terjadi. Sama sekali tidak!
*******************
Pelbagai jenis daun dan akar kayu yang ada di dalam bakul dibelek Mawar satu persatu dengan penuh minat. Sesekali, di bawanya ke hidung. Cuba mengenal pasti daun dan akar kayu yang ada melalui baunya, cuba mencari perbezaan dari setiap daun dan akar kayu yang nampak sama di matanya. Terhidu-hidu Mawar, umpama kucing yang tercium makanan dari dapur.
Korang Comel Kalu Korang Like
"Ini daun pegagah kan?" Daun yang ada di tangan di sua pada Ibu Halimah yang sedang merebus ubi untuk makan tengah hari mereka.
Tidak susah mengenal tumbuhan herba itu. Di zamannya, orang masih menanam pokok pegagah kerana khasiatnya yang tinggi. Daun pegagah selalunya direndam di dalam air dan air itu akan diminum untuk menurunkan suhu badan. Cara perubatan tradisional yang tidak hilang ditelan zaman kerana kaedahnya yang selamat dan ringkas.
"Eya. Semalamkan Mawar demam, sengaja Ibu petik untuk Mawar minum. Biar cepat kebah demamnya." Ujar Ibu Halimah. Dia menghampiri Mawar, duduk bersimpuh di hadapan Mawar yang masih ralit dengan kerjanya.
Tersenyum dia melihat tingkah Mawar. Senang hatinya melihat Mawar yang ini, berbanding Mawar yang "tidur" selama tiga hari sejak malam di mana Taja membawa gadis malang itu pulang ke rumah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Tiga hari Mawar "tidur" umpama mayat. Hanya rentak dadanya yang perlahan itu sahaja petandanya kalau nyawa Mawar masih terikat di dalam jasadnya.
Dia mungkin hanya bidan kampung biasa yang kerjanya hanya membantu orang kampung yang akan melahirkan anak. Tapi itu tidak bermaksud yang dia tidak tahu langsung tentang ubat-ubatan untuk penyakit lain. Setakat merawat tulang patah, luka dan sakit demam biasa, itu memang tugasnya secara tidak langsung sebagai seseorang yang tahu serba sedikit tentang ilmu mengubat orang.
Sebenarnya, dengan luka Mawar yang begitu dalam, firasatnya mengatakan kalau Mawar mungkin tidak akan mampu bertahan lama. Mawar kehilangan banyak darah, tubuhnya tersangat lemah. Entah sudah berapa lama Mawar terlantar sendirian sebelum Taja dan Edika menemuinya di kaki bukit sana.
Tapi, jika ALLAH berkehendakkan sesuatu, siapa kita sebagai hamba-NYA untuk menidakkan? Ketentuan ALLAH, tiada siapa yang boleh menolaknya. Di hari ketiga, ketika dia sudah hilang harapan kalau Mawar akan sedar semula, tiba-tiba sahaja Mawar bangkit dengan sendirinya. Terkejut dia melihat Mawar berdiri di ambang pintu.
Lagi mengejutkan, Mawar mendakwa dia datang dari masa hadapan. Zaman yang hanya akan wujud beratus tahun dari sekarang. Memang sukar untuk dia percaya, tapi kepercayaannya kepada qada dan qadar ALLAH lah yang memungkinkan segala. Mawar yang tidak diketahui asal-usulnya itu diterima baik sebagai tetamu di rumah peninggalan arwah suaminya.
Bukankah Mawar sendiri mengakui bahawa dia berkata benar? Dan kata-katanya disulami kesaksiannya pada kuasa dan zat ALLAH yang satu? Seperti kata Taja, tiada pengakuan yang lebih agung melainkan kesaksian seorang hamba kepada Penciptanya. Maka dengan itu, dia memilih untuk bersangka baik sahaja.
"Mawar ni dah banyak susahkan Ibu dan Taja." Mawar bersuara perlahan. Daun sirih yang baru dicapai dielus-elus lembut.
Rasa bersalahnya datang bertimpa-timpa dengan tidak semena. Kerana dia, galau hati tua Ibu Halimah. Kerana dia jugalah, Taja terpaksa keluar dari rumahnya sendiri. Tapi dia tidak punya pilihan, hanya rumah ini, hanya mereka berdua yang dia boleh bergantung harap. Sekurang-kurangnya, hingga ingatannya pulih.
"Mawar nak pulang, Ibu. Tapi Mawar tak tahu macam mana Mawar nak pulang. Kenapa Mawar yang kena hadapi semua ni?" Setitis dua, jatuh juga airmata Mawar.
Entah kenapa, emosinya sangat kuat mendera perasaan sejak pagi tadi. Hatinya rapuh. Dalam bentakan kecilnya, terselit juga akan persoalan takdir yang sepatutnya tidak keluar dari mulut seorang 'hamba' sepertinya. Mawar lupa, qada dan qadar itu semua ketentuan ALLAH. DIA yang menentukan perjalanan hidup hamba-NYA, yang memegang hidup dan matinya seorang 'Mawar'.
"Nak Mawar, semua yang berlaku itu ada hikmahnya. Tidaklah ALLAH menurunkan ujian kepada kita diluar kemampuan kita. Tidaklah DIA menguji kita melainkan kerana sayangnya DIA kepada hamba-NYA. Janganlah berduka, jangan dipersoal kenapa takdir kita tidak sebaik orang lain kerna setiap kita pasti ada bahagiannya sendiri." Tenang Ibu Halimah memujuk Mawar yang berhati walang.
Jika dia di tempat Mawar, pasti dia juga berduka. Tercampak jauh di dunia yang sangat asing, mesti Mawar hilang punca. Tidak apa, selagi diizinkan ALLAH, dia akan membantu Mawar semampunya.
Mawar yang mendengar kata-kata Ibu Halimah, terdiam. Sejuk kata-kata itu meresap ke dalam hatinya.
"Terima kasih Ibu." Air mata yang menitis, Mawar seka dengan ibu jari sebelum dia kembali tersenyum riang. Seolah tiada apa yang merunsingkan hatinya seperti tadi.
"Eya, sudah. Jangan dikusutkan hatimu yang sedia gundah." Ibu Halimah ikut senyum, kepala Mawar diusap perlahan.
"Iya, Bu." Mawar mengangguk, tunduk menekur lantai yang disusun dari bilah-bilah nibung.
"Ayuh, kita bersihkan akar kayu ini. Petang nanti, boleh ibu hantar ke rumah Orang Kaya Jasni. Isterinya mungkin akan beranak dalam seminggu dua ini."
"Ini semua untuk orang berpantang ke, Ibu?" Mawar menarik salah satu akar kayu yang ada di dalam bakul rotan. Dibawa ke hidung. Macam tadi, dia cuba mengecam akar kayu itu melalui baunya. Macam bau sarsi.
"Tidak semuanya, ada yang untuk diminum sebelum beranak. Biar mudah."
"Kalau minum ni, beranak nanti tak sakitlah?" Ujar Mawar, polos.
"InsyaALLAH, dengan izin-NYA. Pokok pangkalnya, tawakal. Ini semua sekadar usaha, kepada ALLAH juga kita bergantung harap." Ujar Ibu Halimah.
Mawar mengangguk. Faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Ibu Halimah. Tawakal, berserah dan hanya bergantung harap pada ALLAH. Itu kuncinya, kunci kepada hidup yang diredhai ALLAH.
Ibu Halimah dalam diam memerhati Mawar. Mawar nampak berminat dengan akar-akar kayu dan daun-daun herba yang dia cari pinggir hutan pagi tadi. Dari tadi, tidak habis-habis Mawar membelek semua akar-akar kayu yang ada di dalam bakul.
"Ini akar Rempah Gunungkan?" Akar ditangan, disua Mawar pada Ibu Halimah.
"Eya, ini benar akar Rempah Gunung. Macam mana Mawar tahu?" tanya Ibu Halimah pelik.
"Entah." Mawar mengangkat bahu.
Dia juga tidak tahu macam mana dia boleh mengenal akar Rempah Gunung itu hanya dengan baunya sahaja. Akar Rempah Gunung diletak semula di dalam bakul rotan sebelum dia mencapai akar yang lain. Seperti tadi, akar kayu itu di bawa ke hidung. Tidak ada bau yang kuat dan istimewa macam akar Rempah Gunung tadi. Digigit sedikit hujung akar, sekadar cukup untuk Mawar merasa dengan hujung lidah.
Argh, pahit!
"Ini macam akar Mengkudu." Terpejam mata Mawar bila kepahitan akar itu menyentuh lidah.
Tergelak kecil Ibu Halimah melihat reaksi Mawar. Kenapalah di gigit akar Mengkudu yang pahit itu, Nak Mawar?
"Apa mungkin, di Kuala Lumpur sana Mawar kerjanya sebagai pedagang obat? Mawar nampak mahir mengenal tumbuhan yang boleh dijadikan obat." Ujar Ibu Halimah.
"Tak adalah, Ibu. Mawar kan doctor, jadi adalah sikit-sikit tahu pasal tumbuhan herba ni." Ujar Mawar bersahaja. Tumpuannya masih pada akar-akar kayu di dalam bakul rotan tanpa menyedari riak wajah ibu Halimah sudah berubah mendengar kata-katanya.
"Dok.. dok..tor itu apa, Nak Mawar?" Tanya Ibu Halimah tergagap-gagap. Nak Mawar ini, gaya bahasanya selalu sahaja berubah-ubah.
"Doktor? Doktor itu macam Ibu lah, rawat orang. Bagi ubat, jaga orang sakit sampai sembuh."
"Jadi di Kuala Lumpur sana, Mawar kerjanya macam ibu? Dok.. dok.. tor? Begitu?" tanya Ibu Halimah lagi.
"Hah?!" Terhenti terus tangan Mawar yang sedang meguis-nguis daun.
'Aku cakap apa dengan Ibu Halimah tadi?'
"Mawar bilang, Mawar kerjanya di Kuala Lumpur itu dok.. dok.. tor." Melihat Mawar yang kebingungan, Ibu Halimah mengulang balik ayat yang keluar dari mulut Mawar tadi meskipun susah baginya untuk menyebut perkataan "doktor" itu.
"Mawar cakap macam tu ke? Mawar cakap yang Mawar kerja doktor?" Tanya Mawar, tidak percaya. Dia sendiri sudah lupa dengan apa yang dia ucapkan tadi.
Ibu Halimah mengangguk, mengiyakan kata-kata Mawar.
"Ha-ha-ha-ha." Melihat anggukan itu, Mawar ketawa gembira sebelum memeluk Ibu Halimah. Dikucupnya kedua belah pipi orang tua itu tanda gembira.
Gembira kerana selepas tujuh hari 'terhumban' di penghujung kurun ke 15, hari ini dia tahu sesuatu tentang dirinya, sekalipun dia masih belum tahu akan kesahihannya. Tapi Mawar akan pastikan kesahihannya nanti. Mawar mahu ingatannya cepat pulih!
Ibu Halimah yang tergamam melihat perlakuan aneh Mawar hanya mengulum senyum. Mungkin, ada sesuatu pada perkataan "doktor" itu yang buat hati Mawar yang tadinya gundah kini bertukar suka.
Semoga selepas ini, hanya yang baik-baik sahaja yang datang kepada kehidupan Mawar, itu doa Ibu Halimah.
***************
Matahari semakin tegak di kepala bila Taja tiba di rumah. Punggung di labuhkan pada anak tangga, melepas lelah yang berkumpul di dada. Sayup-sayup, gelak tawa Mawar kedengaran. Bibir Taja mengukir senyum tanpa tuan punya badan sendiri menyedarinya.
Tadi semasa berada di pasar, sempat Taja membuat risikan berita mengenai orang hilang ataupun tawanan yang mungkin lari dari tahanan. Namun hingga ke hujung pasar, tiada berita sebegitu yang dia dengar. Hanya ada seorang dua yang bercerita mengenai anak mereka yang diserang demam, tapi bukan itu berita yang Taja mau dengar. Melihat ramai pedagang yang datang dari seluruh pelosok dunia juga tidak membuat hati Taja teruja seperti sebelum ini.
Sejak beberapa hari ini, fikirannya penuh dengan bayang Mawar. Hati kecilnya meronta-ronta ingin tahu siapakah dan mengapakah Mawar boleh tercampak ke zamannya. Apakah yang cuba ALLAH tunjukkan dengan membuka hijab antara Mawar dan dunianya, itu yang merunsingkan fikiran Taja.
Menghantar Mawar pulang ke zamannya bukanlah sesuatu yang ada dalam bidang pengetahuan Taja. Malah, untuk membayangkan suasana kehidupan di zaman Mawar yang ratusan tahun di hadapan dari zamannya sekarang juga tidak terjangkau oleh akalnya. Firasat Taja mengatakan, dia akan berhadapan dengan pelbagai kesulitan dan kemungkinan yang tidak terjangkakan jika dia melibatkan diri dalam urusan Mawar.
Tapi jika bukan dia, pada siapa lagi Mawar harus bergantung harap?
"Ya ALLAH, aku bermohon kepada-MU, lapangkanlah dadaku. Berikan aku petunjuk dalam cubaanku untuk mengungkaikan misteri yang ENGKAU berikan ini. Tiada dayaku ALLAH, hanya ENGKAU tempat aku bermohon pertolongan."
Taja meraup muka, matanya tunak ke hadapan. Ke arah laut yang terbentang luas, sejauh mata memandang. Lama Taja berkeadaan begitu. Hanya mulutnya terkumat-kamit meratib dzikrullah, puji-pujian hanya untuk ALLAH Maha Esa.
'Oleh itu (maka tetapkanlah kepercayaanmu) sesungguhnya, sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya, sesudah kesulitan itu ada kemudahan. - Al-Insyirah, 5-6'
***********
Oh yeyeah!!
Oh yeyeah!!
3 comments:
Tajaaaa~~~~
cik gadis..smbungn x de ke..x sabar nk tau pasal mawar
X sambung daa kee
Post a Comment