"Assalammualaikum."
Safa yang sedang leka mengecat pagar di belakang kawasan Tadika Harapan. Dia kenal suara itu. Suara yang sudah melekat di telinga sejak pertemuan mereka seminggu yang lalu di hadapan pagar Tadika Harapan. Suara itulah yang saban waktu mengetuk gegendang telinga hingga dia tidak rasa canggung dengan si pemilik suara lagi.
“Waalaikumussalam, Encik Ash. Eh, Zaem pun ada.” Safa melepaskan berus cat, berjalan menghampiri mereka sebelum mengusap kepala Zaem macam biasa yang dia lakukan pada pelajarnya setiap pagi.
“Apa hal datang hujung minggu ni?” tanya Safa pada Zaem.
Sebenarnya, soalan itu Safa tujukan untuk Pak Usu Zaem yang baru sahaja memecahkan rekod di Tadika Harapan yang muncu di tadika tujuh hari seminggu. Belum ada pernah lagi ibubapa mahupun penjaga apatah lagi pelajar tadika itu sendiri yang datang ke tadika pada hujung minggu begini. Apatah lagi awal pagi begini.
Tahniah Encik Ash Damien, andalah orang yang pertama itu!
“Pak Usu ajak, katanya nak mengurat Cikgu Safa." Jujur Zaem menjawab. Dia pun sudah terikut-ikut dengan Pak Usu yang memanggil "Cikgu Safa".
Dia bosan sebenarnya. Sudah tidak ada tempat lainkah Pak Usu nak ajak dia berpeleseran di hujung minggu begini? Tak macholah hujung minggu pun pergi sekolah. Kalau ada Acik Ann kan best, mesti sekarang dah lepak-lepak kat Secret Recipe makan ice cream.
Alah rindu Acik Ann, dah lama tak jumpa dia. Pak Usu pun, bila orang cakap pasal Acik Ann, terus diam buat bodoh. Eh, peninglah!
“Eh?” Terkejut Safa mendengar kata-kata Zaem.
Zaem kata apa tadi? Bulat mata Safa memandang Encik Ash yang sudah menekup mulut Zaen dengan telapak tangannya yang hampir menyembunyikan sebahagian wajah Zaem. Ish, ish, ish, kurang nanti oksigen anak saudara awak tu Encik Ash.
"Eh tak cikgu, kami saja datang bertandang." Ash yang masih menutup mulut Zaem tersengih membalas pandangan Safa.
Bambam nilah, tak pandai cover line langsung. Kang tak memasal Cikgu Safa fikir yang bukan-bukan, jatuhlah saham dia nanti. Taulah awak terpaksa datang sini, tapi janganlah nak sabotaj Pak Usu sendiri Zaem oii.
"Ouh.." Mendengarkan jawapan Ash, lagilah Safa rasa pelik.
Saja nak datang bertandang? Ingat Tadika Harapan ni apa? Mungkin dua ber-Pak Usu ini ingat, ini rumah saudara mereka agaknya.
Tapi telinga Safa belum pekak. Setiap hari selepas mandi, belum pernah dia lupa nak korek telinga. Dia tahu dia tak salah dengar akan ayat yang baru keluar dari mulut Zaem tadi. Encik Ash sahaja yang sengaja ubah topik tiba-tiba.
Nak mengurat eh? Safa kulum senyum, hatinya berbunga-bunga.
“Cikgu buat apa tu?” Ash pamer senyum.
“Tengah cat pagar kayu ni. Dah lama nak buat, baru ada kesempatan hari ni.” Safa masih senyum macam tadi.
“Saya tolong.” Ash, dengan gaya paling gentleman tunduk mencapai berus cat.
“Eh, tak perlu Encik Ash. Saya boleh buat, susahkan encik je.” Laju Safa menegah. Cat berus ditangan Ash dia rampas semula. Segan.
Encik Ash ni dah kenapa? Tiba-tiba muncul di tadika hujung minggu begini dan tiba-tiba juga tak semena dia menawarkan bantuan yang Safa tidak pinta.
Kenapa? Betulkah nak mengurat dia ni?
“Tak apa, saya memang nak tolong pun.”
“Cikgu, biarlah Pak Usu yang buat. Pak Usu Zaem ni Mr. Capable Man tau, dia boleh buat semua benda." Tiba-tiba Zaem yang diam dari tadi mencelah.
Zaem Hamizan, seperti dalam perjanjiannya dengan Pak Usu sebelum ke tadika tadi mula memainkan peranannya. Peranan menaikkan saham Pak Usu di hadapan Cikgu Wani, eh Cikgu Safa. Biar Cikgu Safa tahu kalau Pak Usu adalah Stok Lelaki Terhad yang harus di sambar segera selagi masih ada peluang. Kalau tak, memang melepaslah jawabnya.
Lelaki stok terhad? Huh tak boleh blah ouh Pak Usu menggelarkan dirinya. Poyo!
Tapi tak apalah, biarlah Pak Usu berperasaan sendiri-sendiri. Tidak penting bagi Zaem. Di ruang matanya, hanya terbayang Race Car edisi terbaru di Toys 'R' Us. Dia nak yang paling besar dan laju nanti. Biar kalah kereta skyline Pak Usu. Baru umphhh!
“Err..” Safa menggaru kening.
Safa memandang sekeliling. Memang agak banyak lagi pagar yang belum bercat, sedangkan matahari sudah agak tinggi tegak di atas kepala. Kalau dia sendiri, memang tak akan siaplah sampai ke petang nanti. Dah ada orang nak bantu ni, tak salah rasanya dia menerima pertolongan yang di hulur. Bukan dia yang minta pun kan?
Orang berbudi Safa, biarlah kau pula yang berbahasa.
“Saya tolong?” Ash mengulang kata-katanya dalam bentuk pertanyaan.
“Okey.” Safa senyum.
“Hah, macam itulah. Lagipun saya tengah free sekarang..” Ash sengih, senyumannya manis menggula.
Iyalah Ash, habis tu kerja kau yang berlambak kat office tu siapa yang nak siapkan? Lapang sangatlah kau hari ni kan? Alah takpa, hujung minggu memang untuk rehatkan diri pun. Rehatkan diri sambil tolong cikgu kita kat sebelah ni cat pagar tadika. Oh yeyeah!
“Err, saya sebenarnya tak selesalah Encik Ash.” Safa berterus terang.
“Tak selesa, kenapa?” Ash yang sedang mengacau cat putih di dalam bekas bertanya.
Zaem yang sedang bermain tidak jauh dari mereka diawasi dengan ekor mata. Kang hilang pula budak tu, mati dia dikerjakan oleh Ain Dania.
“Saya tak selesa Encik Ash selalu datang sini.” Safa menjeling Ash dengan ekor mata. Cuba melihat reaksi Ash bila mendengar kata-katanya.
“Kenapa? Cikgu tak suka saya datang sini ke?” Terhenti terus tangan yang sedang mengacau cat.
Kepala di panggung, matanya menikam tajam anak mata Safa. Terkejut sebenarnya dia, tidak sangka rupanya kehadirannya selama ini tidak disukai Safa. Sob, sob, sob, kasihan kau Ash Damien. Biar pun hidung sudah mancung, tetap juga pipi tersorong-sorong.
“Tak, bukan macam tu. Tapi saya rasa macam tak manis Encik Ash selalu datang sini, nanti apa pula kata cikgu-cikgu yang lain." Ujar Safa, berhati-hati tutur katanya biar tidak terluka orang yang mendengarnya.
“Ouh, saya faham.” Ash mengangguk.
Kalau Safa tak cakap pun, sebenarnya dia pun tahu kalau tindakannya selalu bertandang ke tadika semata-mata untuk bertentang mata dengan Safa ini adalah tidak elok. Lagi-lagi dengan tindakan agresifnya yang datang bukan sekali dua, tapi setiap hari dia datang macamlah dia ada share kat tadika ni.
Isnin hingga jumaat, bolehlah alasan menghantar Zaem itu dijadikan alasan. Tapi kalau hujung-gujung minggu pun dia muncul, memang tidak patutlah. Tapi iyalah, diakan bermuka tembok. Mana dia pernah nak hirau dan kisahkan pandangan dan cakap-cakap orang di sekelilingnya. Dia yang tak buat peduli, tapi bahana dari sikap sambil lewanya itu, Safa yang akan terima tempiasnya.
“Tapi macam mana ya, saya memang tak boleh kalau tak datang sini.” Ash mengerling Safa yang kebetulan juga sedang memandangnya.
Entah ubat apa yang dia salah makan sejak seminggu yang lepas. Sejak pertemuan keduanya dengan Safa dulu di hadapan pagar tadika, dia selalu sahaja mencari-cari alasan untuk selalu bertentang mata dengan Safa.
Maka sebab itulah, dia dengan sendirinya melantik dirinya sebagai pemandu peribadi anak Kak Ain. Cuma, tugas rasminya hanya menghantar dan kalaulah boleh dia ingin mengambil Zaem di tadika setiap hari. Hanya itu caranya supaya dapat dia bertentang mata dengan Safa.
Kemaruk sangat dah kau ni, Ash!
“Sebab saya rasa, saya tak boleh kalau tak jumpa awak.” ujar Ash. Kata ganti nama sudah berubah.
“Eh?” Terkejut Safa mendengar ayat Ash yang satu ini.
“Kalau saya dah tak boleh datang sini, boleh tak kalau saya ajak Safa keluar?” tanya Ash memberanikan diri sendiri.
Kalau dia ingin melangkah lebih jauh bersama-sama dengan Safa, beriringan dengan gadis di sebelahnya ini, dia haruslah berani memulakan langkah-langkah kecil tapi berisiko tinggi begini. Risiko tinggi untuk ditolak.
“Maksud Encik Ash?” Berkerut dahi Safa mendengar kata-kata Ash.
"Saya rasa, hari saya tak lengkap kalau saya tak jumpa awak dalam sehari."
“Sa.. Sa.. Sa..ya..” Safa kelu lidah.
Nak jawab apa ni? Dia mana pernah berada dalam situasi begini. Dia rasa canggung, tidak tahu hendak buat apa.
Kak Hajar, tolong Safa!!
"Encik Ash tengah mengurat saya ke ni?" Safa cuba berlawak. Cuba mengubah suasana yang tadinya 'comedy' tapi kini sudah masuk mode 'romantic comedy'. Ah, sudah!
Safa dah khatam sejuta kali drama korea di TV tu. Selalu ada scene macam ni, scene yang diulang kali berjuta kali dalam drama yang berbeza. Safa bukannya clueless sangat pun sebenarnya dengan situasi sekarang. Dia bukannya heroin K-Drama yang selalu lembab nak mampus bila hero bagi hint macam ni. Sekarang ni, dia faham benar apa yang Ash cuba sampaikan.
Persoalannya, diakah heroin itu?
“Kalau saya kata ya, Safa nak kata apa?” Ash bermain kata. Safa yang diam terkebil-kebil dia pandang.
Dalam diam, Ash menganalisa wajah Safa yang sentiasa tersenyum itu. Bila Safa senyum, gigi taring Safa yang bertingkat itu akan kelihatan. Paling dia suka, mata Safa akan ikut "senyum" setiap kali Safa senyum. Comel!
Safa mengetap kuat bibir bawahnya. Gelodak perasaan yang tiba-tiba menggebu di dada cuba dikawal sebaik mungkin, biar tidak terbias di wajah. Encik Ash yang baru dia kenal kurang dari 14 hari itu dia renung.
"Kita baru kenal Encik Ash."
Ash senyum mendengar kata-kata Safa. Berus cat kembali dia capai. Dengan selamba, dia meneruskan kerja yang tertangguh tadi. Dia faham maksud kata-kata Safa itu. Perkenalan mereka belum lama, masih terlalu awal untuk saling berbincang tentang hati dan perasaan.
"Safa, cinta bukan tentang siapa yang datang dulu atau siapa yang paling awak kenal. Tapi cinta, tentang siapa yang datang dan tak pernah tinggalkan awak." Ash meng'koma'kan ayatnya, memandang Safa yang masih terkebil-kebil memandangnya dan senyum manis terukir di bibir Ash melihat aksi Safa.
"So Safa, persoalan tentang masa itu boleh awak jadikan isu berbangkit. Tapi untuk orang lain, bukan saya. Dan percayalah, saya bukan buaya. Bermain tentang soal hati dan perasaan, bukan hobi saya. Lagipun, kami lelaki gentleman tahu membezakan antara wanita yang boleh dijadikan isteri dengan wanita yang boleh ditolak ke tepi."
Safa diam. Setiap bait ayat yang keluar dari bibir Ash dia dengar dengan penuh kusyuk. Kata-kata Ash menghangatkan hati yang sentiasa dingin. Dadanya menggebu dengan perasaan yang dia tidak tahu apa tapi buat dia rasa selesa.
'Bangun Safa, ini cuma mimpi.' Safa mencubit tangan kirinya. Sakit.
Okey, ini bukan mimpi..
Safa kembali memusatkan matanya ke wajah Ash. Kali ini, mata mereka bertentang. Lama sebelum masing-masing mengukir senyum.
'Mungkin, aku heroin itu.'
**************************
Ann melempar telefon di tangan ke atas katil. Moodnya hilang lagi bila melihat skrin telefon yang kosong tanpa sebarang panggilan atau pesanan ringkas dari Ash.
"Abang kata, abang akan call Ann nanti." Ann menggigit jari sambil memandang telefon yang masih hitam kosong skrinnya.
Masuk hari ini, sudah lebih seminggu Abang Ash hilangkan diri tanpa dapat dikesan. Sejak hari kejadian di Quality Hotel dulu, jejak lelaki itu terus hilang. Menyesal dia tak install aplikasi yang boleh menjejak Abang Ash di telefon Abang Ash dulu.
Walau berpuluh panggilan dia buat, beratus pesanan ringkas yang dia hantar, tiada satu yang mendapat balasan. Semua panggilan yang dia buat, semuanya masuk voice mail. Nampak sangat, Abang Ash memang ingin mengelak dari dia.
Tapi, apa salah dia? Jatuh cinta, kemudian meluahkan cintanya dengan Abang Ash itu dikira sebagai satu kesalahankah? Ah, Abang Ash childish!
Telefon di atas katil dia capai, nombor Abang Ash didail sekali lagi.
‘This is the voice mail box for the number..’
Papp! Telefon bimbitnya kembali dilempar di tempat yang sama. Dia sudah bosan mendengar suara mesin itu, dia sudah naik muak mendengar pesanan yang sama.
Sliding door kaca dibuka, dia melangkah keluar ke balkoni dan duduk tanpa alas di atas mozek. Lututnya ditarik rapat ke dada, air matanya jatuh berjuraian di pipi.
Sakitnya!
Ann tidak pernah tahu kalau menyintai Ash Damien sesakit ini. Ini adalah sakit yang paling dia rasa teruk sepanjang usianya 21 tahun. Sakit bila cinta yang tersimpan kukuh di dalam hati selama bertahun-tahun layu sebelum sempat berbunga.
Ann mendongak ke langit malam, cuba mencari bintangnya yang ada di sebelah bulan.
Tiada! Tiada bulan, tiada juga bintangnya.
Melihat langit malam yang mendung, hati Ann bertambah sayu. Kenapa semuanya serba tidak kena hari ini? Bulan dan bintang pun ingin ajak dia bergaduh juga ke?
Mengongoi Ann dengan tidak semena-mena. Dia betul-betul rasa sunyi. Rasa keseorangan. Ash Damien semakin menjauh, semakin sukar untuk dia gapai.
Airmata jatuh membasahi pipi, mengaburkan pandangannya. Pandangan yang kabur itu semakin lama semakin bertukar gelap.
Abang Ash, Ann rindu.
*********************
Selamat membaca!
No comments:
Post a Comment