Dec 17, 2013

Bintang Di Sebelah Bulan [PROLOG]

Tapak perkhemahan di atas bukit itu semakin sunyi. Menjelang pukul tiga pagi, hanya beberapa orang lagi yang masih berjaga. Rata-ratanya adalah mereka-mereka yang punya tujuan yang sama seperti dia. Mencerap langit!

Ash menggeliat. Kopi yang ada di atas meja di hadapannya di capai. Berlumba-lumba kopi yang sudah suam-suam kuku itu menerjah masuk ke dalam perut.

“Abang Ash, dapat tengok meteor tak?” Satu suara di belakang menyapa.

“Tak ada. Ann tak tidur lagi ke?”

Ann, dengan selimut tebal membalut tubuh menghampiri. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah kerusi yang ada di sebelah Ash.

“Tak boleh tidur. Abang Dani berdengkur kuat sangat.” Ann sengih.

“Ha-ha-ha. Memang patutlah Ann tak boleh tidur.” Ash mengiyakan.

Hampir lima tahun berkongsi bilik di asrama dengan Dani, Ash sudah faham fill tidur abang kandung Ann itu. Bunyi dengkuran Dani memang sangat menyakitkan telinga.

“Itu bintang apa?” Jari Ann mengarah pada sebutir bintang yang bersinar sangat terang di kaki langit sebelah Utara.

“Sirius. Bintang paling terang.” Terang Ash.

“Oh, itu Sirius.” Ann mengangguk-angguk.

Seingat Ann, dia ada belajar tentang bintang Sirius yang di gunakan oleh para pelayar di zaman dahulu untuk menentukan arah dan khiblat. Malah, menurut guru Sainsnya, bintang itu ada di sebut di dalam Al-Quran.

“A’ah. Hari tu exam UPSR macam mana?” Ash baru teringat kalau Ann baru selesai dengan peperiksaan UPSRnya minggu lepas.

“Entahlah, okey kot.” Ann sengih, menayang barisan giginya yang tersusun cantik.

Dia bukannya pandai macam Abang Dani, jauh sekali nak capai tahap Abang Ash yang straight A memanjang setiap kali peperiksaan. Ann berani cakaplah, SPM nanti mesti Abang Ash straight A lagi macam PMR dulu.

“Tak apalah, yang penting Ann dah cuba.” Ash senyum.

Ann sengih sebelum mengangguk. Belajar dua jam seminggu itu dikira sebagai usaha jugakkan? Ngengenge.

“Wah, bulan purnama. Cantiknya!”

Ann yang baru perasan akan bulan yang terlindung di balik awan tadi terpana sebentar. Bulan purnama yang kelihatan bulat dengan cahaya yang sangat terang itu membuatkan Ann kagum dengan ciptaan ALLAH.

"Ann tau tak, bulan tak ada cahaya." Ash turut melempar pandangannya ke langit.

"Tau.” Ann mengangguk mengiyakan.

“Bulan pantulkan cahaya dari mataharikan? Abang Ash dah pernah bagi tahu Ann dulu."

Ann masih ingat, Abang Ash pernah beritahu dia fakta tentang bulan itu beberapa bulan yang lalu sewaktu dia dan Abang Ash mencerap gerhana bulan.

"Hurmm, betullah tu." Ash sengih. Ingat lagi Ann fakta yang satu itu.

"Bulan itu bijak, matahari itu gah."

"Antara bulan yang bijak dan matahari yang gah, Ann pilih jadi apa?" tanya Ash tiba-tiba. Ann di sebelah dijeling sekilas.

"Kalau Abang Ash?" tanya Ann balik.

"Abang Ash nak jadi bintang.

“Bintang? Kenapa bintang?” Ann bertanya hairan.

Bukankah kita tengah bercerita tentang bulan yang bijak dan matahari yang gah Abang Ash oii? Dari mana munculnya bintang ni?

“Entah, mungkin sebab Abang Ash suka bintang.” Ash senyum.

"Kalau macam tu, Ann pun nak jadi bintang jugalah. Bintang Abang Ash.” Ann sengih.

“Kenapa?”

“Entah. Mungkin sebab Ann suka Abang Ash.” Makin lebar sengihan Ann.

Ha-ha-ha-ha. Tergelak Ash mendengar kata-kata Ann. Macam-macamlah adik kau ni Dani!

“Kalau macam tu, itu Ann.” Jari telunjuk Ash mengarah pada sebutir bintang yang paling hampir dengan bulan. Bintang yang paling bersinar di antara bintang-bintang yang ada di sekitar bulan.

“Abang Ash suka bintang tu. Bintang di sebelah bulan.”

“Bintang di sebelah bulan?” Mata Ann mengikut arah yang di tunjuk Ash.

“A’ah. Itu bintang Ann, bintang di sebelah bulan. Bintang Ann Delisha.” Ash berpaling, tersenyum pada Ann yang turut memandangnya sebelum kembali menebarkan pandangan ke dada langit.

Ann terasa jantungnya berdegup laju dari biasa. Tangannya menyentuh dada. Perasaan aneh yang pertama kali dia rasakan sepanjang usianya 12 tahun. Suara Ash seperti terngiang-ngiang di telinga dan senyuman Ash menari-nari di tubir matanya.

‘Itu bintang Ann, bintang di sebelah bulan. Bintang Ann Delisha’

***************** 
Korang Comel Kalu Korang Like

3 comments:

eija said...

aik mcm best jer jln cite...sbug2..

baby mio said...

BEST...NAK LAGI.

izzahmdshah said...

tolonglah nak lagi. please. my lips can't stop smiling