Apr 16, 2018

Bintang Di Sebelah Bulan [11]

Comforter ditarik hingga dada, menutup bahagian tubuh Ann yang terdedah. Selepas memastikan Ann sudah berasa sedikit hangat, Ash bergerak menuju ke almari. Baju yang dipakainya di buka, sudah tidak tertahan Ash mencium hamisnya bau muntah Ann. 

Tadi, sempat lagi Ann muntah di atas bajunya sewaktu mereka keluar dari kereta menuju ke lif.

“Air.. air…” 

Ann merengek-rengek, tangannya menggagau ke udara. Tidak dihiraukan oleh Ash yang masih berdiri di hadapan almari.

Ash melempar baju kotor ke dalam bakul. Nanti, dia mahu bakar sahaja baju itu. Dia sudah tidak sanggup memakainya lagi. Dia jijik.

“Air.. air.. air…” 

Ann merengek lagi, tangannya mengurut leher. Tapi, lagi sekali permintaannya diabaikan. Ash masih sibuk mengurus diri.

Baju dari dalam almari ditarik kasar, tapi dia membatalkan niatnya untuk memakai baju itu bila hidungnya terhidu bau hamis dari badannya. Muntah Ann tembus hingga ke kulit. Tiada pilihan, dia harus mandi terlebih dahulu.

Ash bergerak ke tepi katil, ada pengecas telefon yang sentiasa terpasang di plug. Tangannya meraba poket seluar, kosong.

Ah, sudah. Ash tertinggal telefonnya di atas dashboard kereta.

“Airrrrr.. Airrrrr..” Kali ini, mendayu-dayu suara Ann meminta air.

Tangan Ann bukan setakat mengusap leher, tapi lebih kepada menggaru leher yang mungkin terasa gatal bahana air yang diteguknya sebelum ini.

“Cari penyakit!” Ash menggeleng, dia berlalu ke dapur sebelum muncul semula dengan gelas kaca besar berisi air.

“Ann, bangun. Minum air ni.” Ash membantu Ann bangun. Sebelah tangannya memegang kejap bahu Ann, sebelah lagi memegang gelas.

“Abang Ash, hihihi..” Ann yang masih mabuk, membuka sedikit matanya. 

Sebelah tangannya hinggap di pipi Ash, mungkin tidak percaya dengan apa yang dia lihat.

Ash Damien ada di hadapannya!

“Jangan tinggalkan Ann…” Tawa Ann bertukar sendu.

Air matanya jatuh berjejeran jatuh di pipi. Emosinya berubah-ubah, Ash yakin ini penangan air kencing syaitan yang diteguk Ann tadi.

“Tak. Minum ni Ann, cepat.” Ash menyua gelas ke bibir Ann.

“Tak nak. Ann nak Abang Ashhhh… huk.. huk.. huk..”

Kedua tangan Ann hinggap di pipi Ash. Ann mendekatkan wajah, kewarasan akalnya sudah hilang. Saat ini Ann hanya ingin menyatukan bibirnya di atas bibir Ash. Air mata Ann masih jatuh mengalir di pipi.

“Ann!!" Ash yang seakan tahu apa yang Ann cuba lakukan menolak kuat tubuh Ann menjauh darinya. 

Ann hilang keseimbangan, sebelum dia jatuh sempat Ann memaut lengan Ash. Memaksa lelaki itu jatuh bersama-sama dan menghempap tubuhnya. Habis tumpah air dalam gelas di atas katil.

“Ash Danien!” Suara bertempik kedengaran di muka pintu. 

Laju Ash bangkit, dia berpaling dan Ayahnya berdiri di muka pintu dengan wajah yang bengis.

“Ini bukan macam apa yang Ayah fikir.” Ash berjalan menghampiri Datuk Azhari, memaut lengan lelaki separuh umur itu sebelum ayahnya  mula membuat andaian yang bukan-bukan.

“Dengan tak berbaju macam ni, berdua-duaan pula dalam bilik dengan keadaan yang mencurigakan, Ash nak Ayah fikir apa?” Datuk Azhari memandang wajah anak bujangnya, tajam. 

Sempat dia mengalihakan pandangan pada Ann yang terbongkang di atas katil, kembali mamai dalam dunianya sendiri. Ann menggumam dalam bahasa yang tidak pernah Datuk Azhari dengar sebelum ini.

ALLAH, apa sudah jadi pada Ann Delisha?!

“Let me explain.”

“Then, explain.” 

Datuk Azhari bergerak keluar dari bilik, duduk di sofa yang ada di ruang tamu. Pintu hadapan dibiar terbuka sejak dia tiba tadi. Hanya pintu grill yang di kunci.

Ash datang menghampiri, mengambil tempat di hadapan Ayahnya. Nafas dihela panjang, dihembus perlahan dan dia memulakan ceritanya dari A to Z. Bermula dari kejadian di Quality Hotel hingga kejadian di Tiramisu Cafe beberapa jam yang lalu.

“Sebab tu Ann ada kat sini, Ash rasa bersalah.” Ash menamatkan ceritanya bersama sebuah keluhan.

“Cara Ash ni, salah. Boleh mendatangkan fitnah, buruk padahnya.” Datuk Azhari memandang tenang wajah anak bujangnya. Wajahnya sudah tidak setegang tadi.

“Ash tahu, tapi Ash hanya terfikir cara ni sahaja. Ash bimbangkan kesihatan uncle Darius, macam mana kalau dia terkejut tengok keadaan anak dia. Ayah sendiri pun nampak kan, Ann tak patut balik rumah dalam keadaan dia yang macam tu.”  Ujar Ash.

Datuk Azhari diam. Ada benarnya kata-kata anak lelakinya itu, dia cuma tidak bersetuju dengan cara Ash. Bukan sekali dia mendengar Imam masjid di kawasan perumahan mereka mengulang-ulang ayat tentang niat yang tidak akan pernah menghalalkan cara itu.

Dan Ash sendiri tahu tentang itu!

“Macam mana Ayah boleh terfikir nak datang sini?” tanya Ash bila Ayahnya hanya diam tanpa membalas kata-katanya. Dia lupa bertanya tadi, wajah Ayahnya menakutkannya.

“Ayah terjaga bila Ash hantar SMS tu. Ayah call balik, Ash dah off telefon. Tu yang Ayah datang sini, nak tengok apa yang dah jadi.” Ujar Datuk Azhari.

Ash mengangguk. Mujur Ayah datang, jika tidak entah apa yang perlu dia lakukan.

“Sudah. Pergi mandi, pakai baju dan kita balik rumah. Nanti Ayah call Dani.” Ujar Datuk Azhari lagi.

“Baik, Ayah.” Ash bangkit, akur dengan saranan ayahnya. 

Dia masuk semula ke bilik tidurnya, beberapa minit kemudian Ash keluar bersama pakaian bersih. Dia menuju ke bilik tamu, masuk dan hilang di balik pintu yang ditutup rapat.

Sebaik Ash hilang dibalik pintu, Datuk Azhari melangkah masuk ke dalam bilik utama di mana Ann berada. Datuk Azhari berdiri di hujung katil, memandang Ann dengan sejuta rasa yang berbaur.

‘Isha, kenapa sampai begini jauhnya hidup Isha terpesong?’ Datuk Azhari menggeleng kepala, hatinya sayu melihat keadaan Ann Delisha. Masih jelas diingatannya betapa polosnya Ann Delisha dulu. Dengan pipi merahnya, dia selalu tersenyum ketika datang bertandang ke rumah mereka, mengekori ke mana sahaja Dani dan Ash pergi.

Sekarang, mana perginya Ann Delisha yang polos itu? 

“Abang Ash, jangan tinggalkan Annn…” Ann menggumam rendah. Suara rayuannya berselang seli dengan esak tangis tanpa air mata.

Rawan hati Datuk Azhari mendengar rayuan Ann. Dia sudah tahu sejak dulu kalau Ann ada menyimpan rasa. Bukan sekali Ann tertangkap oleh matanya merenung Ash diam-diam dalam senyuman. Dia suka Ann, bertahun dia mengenali adik kawan baik anaknya itu meyakinkan Datuk Darius kalau Ann itu anak gadis yang baik.

Entah mana silapnya, Ann berubah laku sehingga begini jadinya. Salah siapakah sebenarnya?

Telefon didalam poket dikeluarkan, Datuk Azhari mendail nombor seseorang. Matanya tidak lepas dari memandang Ann yang masih terbongkang di posisi yang sama sejak dia masuk tadi. Datuk Azhari lihat, mata Ann begerak-gerak.

“Uncleeee….” Tangis Ann pecah tiba-tiba.

“Hello, Samsul. Minta maaf, saya ganggu awak pagi-pagi buta macam ni.”  Datuk Azhari senyum, anak matanya bertembung dengan anak mata Ann yang basah dengan air mata.

Mungkin, epal yang berpaut di dahan yang rapuh ini memerlukan dahan yang baru untuk bergantung, meski Datuk Azhari sendiri tidak tahu sekukuh mana dahan yang baru ini.



Setengah jam kemudian, Ash selesai mandi. Dengan tuala di tangan, Ash keluar dari bilik tamu lengkap berpakaian. Rambut yang basah dikeringkan dengan tuala.

“Assalammualaikum, Encik Ash.”

Langkah Ash terhenti. Tuala di kepala jatuh ke bahu mendengar salam yang dihulur oleh lelaki bersongkok yang sedang berdiri di ruang tamu. Ada 6 orang semuanya, termasuk Ayahnya.

“Waalaikumussalam.” Ash menjawab salam suci itu. Seolah faham apa yang sedang berlaku, kaki Ash terasa lemah. Hampir jatuh dia di situ.

“Ya ALLAH, Safa.” Ash meraup muka. Teringat janjinya pada bakal tunangnya itu.

“Esok, sebelum matahari terbit saya dah berdiri di hadapan pagar rumah dan sambut kedatangan awak. Okey sayang?”

Ash tidak tahu kalau dia masih mampu menunaikan janjinya yang satu itu. Saat anak matanya bertembung dengan mata milik Ayahnya, Ash rasa ingin sahaja menangis.


***************

Lama saya hilangkan? Ha-ha-ha :)


Korang Comel Kalu Korang Like

5 comments:

Anonymous said...

Yeeaaayyyy sambung lagi pleaseee๐Ÿ˜๐Ÿ˜๐Ÿ˜

Anonymous said...

Please Sambung lagi...lama Saya tunggu citer Nim..

Unknown said...

Ada buat novel lgi ke akk??sbb mmng best cerita akk yg isteriku 19 tahun...saya menanti novel terbaru awk..hope sgt ada yh terbaru muahhh

Anonymous said...

Omg cik gadis pls pls pls sambung, lama tungguuu

Anonymous said...

Omg cik gadis pls pls pls sambung, lama tungguuu