Jun 11, 2011

Isteriku, 19 tahun! [3]

[3]

Razali mendail nombor yang sama untuk kesekian kali, namun masih suara perempuan yang sudah di programkan menjawab panggilannya. Masuk kali ini, hampir 15 kali panggilannya di pindahkan ke voicemail telefon Akif. Razali mendengus geram, bosan dengan sikap kebudak-budakan dua anak terunanya. Seorang melayan rajuk yang berpanjangan tak berkesudahan, manakala seorang lagi hilang terus dari radarnya tanpa dapat di kesan.

“Menyebalkan!” Lagi sekali keluhan dia lepaskan.

“Kenapa ni?” 

Maria yang baru melangkah masuk ke dalam bilik menyoal bila melihat wajah suaminya yang menegang.

“Anak teruna bertuah awak tulah. Dari pagi tadi saya call tak dapat-dapat.”

Razali meraup muka, duduk di birai katil sambil mengeluh. Sejak akhir-akhir ini, keluhan dan dia seolah sudah menjadi “sahabat” baru. Namun, itu bukanlah sesuatu yang baik.

“Abang tak boleh salahkan Aiman dan Akif,  tapi salahkan Zuyyin!” 

Maria tiba-tiba menyinga. Kerana Zuyyin, seorang anaknya membawa diri entah ke mana, manakala seorang lagi patah hati, berduka lara.

“Saya tak faham, apa istimewanya Zuyyin di mata ayah hingga dia terfikir untuk menjodohkannya dengan anak kita.” Maria menyambung ayatnya. Bibirnya di cebikkan, menyebut nama Zuyyin pun dia rasa meluat.

“Dan apa buruknya Zuyyin sampai awak benci sangat dia. Abang tak nampak celanya apa hingga awak benci sangat dengan dia.”

“Abang! Zuyyin itu anak Islah! Dia yang sebabkan penderitaan keluarga saya. Abang lupa apa yang mak budak tu dah buat pada keluarga kami?! Dia hancurkan kebahagian keluarga saya bang.”

Turun naik dadanya menahan amarah. Melihat Zuyyin seumpama melihat Islah berdiri di depannya, tersenyum mengejek melihat kehancuran keluarganya. Sampai bila pun, dia tidak akan sekali-kali memaafkan perempuan itu. Tidak mungkin. 

“Awak sedar tak yang awak sedang menghina keluarga saya, Maria. Jangan pernah awak lupa, Islah itu adik saya!”

Razali juga meninggikan suaranya. Dia paling benci bila isterinya mula menghina arwah adiknya. Meskipun penghubung antara mereka cuma air susuan arwah mak mereka, namun baginya Islah itu umpama adik kandungnya sedarah. Menghina keluarganya, seumpama mencincang lumat hatinya hidup-hidup.

“Dia bukan sesiapa bagi saya. Sama seperti Zuyyin.” Maria mengendurkan suaranya, namun masih kasar bunyi ayatnya.

“Adik abang itu tidak bersalah Maria. Dia cuma jatuh cinta, dan jatuh cinta itu bukanlah kesalahan yang besar sehingga awak ingin menghukum keturunannya. Kerana awak terlalu memikirkan kesalahan dan kesilapannya, awak telah terlupa cara untuk memaafkannya.”

Razali melawan pandangan mata isterinya. Handphone di atas katil di capainya, bergerak ke muka pintu, dan pantas memulas tombol.

“Dan kalau awak terlupa, biar saya ingatkan sekali lagi, bukan arwah Islah yang mulakan semua itu, tapi awak. Jika ada sesiapa yang perlu di salahkan, awak orangnya!”

Razali tarik daun pintu, pantas membawa tubuhnya keluar dari bilik itu. Lagi lama dia dia berada di situ, lagi panas rasa di dadanya. Dia bukan jenis suami yang akan meninggikan suara kepada isterinya, apatah lagi jika sampai mengangkat tangan. Lantas, untuk menghindar dari pertengkaran itu, laju langkah kakinya menuju ke bilik ayahnya bila dia rasakan kesabarannya semakin menipis. Dengan sikap Maria yang begini, kesabarannya yang bersisa itu tak mustahil akan berkurang dan hilang suatu hari nanti.

“Abang silap, satu-satunya yang bersalah dalam hal ini cuma Islah. Dia, manusia yang bertangungjawab atas kehancuran keluarga saya! Dan sekarang, saya takkan izinkan anaknya hancurkan kehidupan anak-anak saya pula. Saya sekali-kali tak akan izinkan!” Maria mengepalkan penumbuknya. Menggenggam erat jari jemarinya menahan amarah yang masih bersisa.

**************

“Tell me the truth, why you’re here? Rizqin bagi tahu aku atuk kau sakit.”

Dahi Naim berkerut, melihat Akif yang sentiasa segak dan segar itu dalam keadaan yang kusut dan celaru bukanlah sesuatu yang dia bayangkan tadi bila Rizqin memberitahunya yang Akif sudah kembali ke pejabat. Akif yang sedang tunduk dan buat-buat sibuk meneliti borang tender di depannya ini, sangat berbeza dengan Akif yang dia sudah kenal lama dari zaman melepak di bus stop depan sekolah, dengan pakaian sekolah sambil bersiul nakal mengusik pelajar perempuan yang lalu lalang.

“Can you please, leave me alone?” Akif bersuara tanpa mengangkat wajahnya.

“Nope. At least, hingga kau cerita apa yang terjadi di kampung sampai kau bawa diri balik ofis dengan keadaan kau macam anak dara di paksa kahwin” 

Naim angkat kening double jerk. Memang berniat untuk menambahkan amarah di hati Akif. 

“Betullah tu.” Akif tutup fail di depan. Menyandarkan tubuhnya di kerusi. Terasa penat sedang menyeksa seluruh tubuh dan perasaannya.

“Huh?! Apa yang betulnya?! Kau di paksa kahwin?!”

Naim ternganga sesaat bila Akif menganggukkan kepalanya. Dan melihat keadaan Naim yang seolah teruja dengan berita yang baru dia dengar, Akif tiada pilihan selain membuka cerita itu sekali lagi.

“Satu soalan sahaja yang aku nak tanya kau sekarang.”

Naim membetulkan duduknya setelah selesai mendengar cerita Akif. Cerita yang baginya sudah tidak relevan di zaman moden ini lagi, tapi dalam persepsi lain, dia masih bersetuju dengan “arrangement married” ini.

“Apa?” Akif bersuara malas.

“Kenapa kau benci dengan Zuyyin? Sebab mama kau dah pengaruhi kau?!” Soal Naim tenang.

“Aku tak pernah benci Zuyyin. Aku cuma tak suka dia.” Balas Akif, juga tenang.

“Then, kau tak ada masalah kahwin dengan dia. Kau cuma perlu menukarkan perasaan “tak suka itu” kepada “suka” dengan cara membuang perkataan “TAK” itu.” Naim sengih.

“Dengan cara apa? Tekan butang “DELETE” atau guna “ERASER”?!” Soal Akif geram bila dia rasa Naim seolah-olah mempersendakannya.

“Semua di atas.” Hahaha! Bergema tawa Naim di bilik Akif. Muka cemberut Akif tidak di endahkannya, terus juga menyambung kata.

“Tak salah mencubakan? Orang selalu cakap, sayang dan benci itu cuma di pisahkan oleh satu garisan halus, sangat halus hingga kita tak sedar yang orang kita benci itulah sebenarnya orang yang paling kita sayang. Paling penting buat kita.” Kali ini Naim kembali ke zon serius.

“Tapi aku tak cintkan dia Naim. Dan dengan situasi hubungan kami sekarang, menikah dengan dia bukanlah satu keputusan yang aku rasa boleh menguntungkan kedua belah pihak. Lainlah kalau dia kahwin dengan abang Aiman.” Akif mengeluh.

Sejujurnya, dia tidak mahu tersilap langkah, ini soal masa depannya dan Zuyyin. Dia sebolehnya tidak ingin salah seorang dari mereka terluka apatah lagi terseksa. Masa depan Zuyyin mungkin lagi terjamin jika bersama Aiman.

“Okey! Bagi aku satu sebab kenapa kau tak suka Zuyyin.” Naim angkat kening double jerk, cuba mencabar Akif yang tergamam seketika dengan soalannya yang tiba-tiba berubah topik.

“Kenapa aku tak suka Zuyyin?”

Perlahan suara Akif, seakan berbisik dengan dirinya sendiri sahaja. Soalan Naim bukanlah dalam kategori “soalan luar alam” mahupun  kategori “soalan membunuh” hingga dia tidak mampu menjawab sepatah ayat pun. Namun, entah kenapa, tiada ayat yang mampu dia rangka untuk menjawab soalan Naim. Dia buntu sendiri dalam pencariannya.

“Dulu, waktu kami masih kecil, aku tak suka bila dia selalu mengekor aku. Banyak cakap dan selalu melawan cakap aku. Tapi…” ayat Akif terhenti.

“Tapi apa?” Soal Naim tak sabar.

“Semakin kami dewasa, Zuyyin semakin menjauhkan diri dari aku untuk mengelakkan kami bertikam lidah. Dan untuk bercakap dengan dia…”

“Kau cari gaduh dengan dia, dan ia akhirnya menjadi satu kebiasaan untuk kau. See, bukankah aku dah cakap antara benci dan sayang itu cuma terpisah oleh satu garis halus?” Naim sengih sebelum senyum penuh makna.

“Kau cakap apa ni?! Aku tak faham.” Hujung kening Akif bersambung sambil dia menggelangkan kepalanya perlahan.

“Kahwinlah dengan Zuyyin, dan kau akan faham. Dan Akif, jika kau perlu mencari sebab kenapa perkahwinan ini harus terjadi, aku boleh cadangkan satu sebab yang mungkin boleh mengubah keputusan kau sekarang.” Naim bangun dari kerusi, menyeluk tangannya ke dalam poket seluar, berdiri tenang di depan Akif.

“Apa?!”

“Think about your grandpa. He’s dying now.” Naim pasang muka tanpa riak sebelum berpaling menuju ke pintu. Ketika di muka pintu, dia berpaling menghadap Akif semula.

“Sesetengah orang merasakan yang melarikan diri ialah sebahagian dari penyelesaian masalah, but actually they are definitely wrong!” Satu keluhan keluar dari bibir Akif bila mendengar ayat Naim yang bersahaja.

“Dan Kif, Hanna kata, melarikan diri itu sifat seorang pengecut!”

“Hanna?! Sejak bila kau baik dengan adik aku ni?” soal Akif curiga. Senyuman di bibir Naim menimbulkan keraguan.

“Sejak aku rasa yang kau ni sesuai jadi abang ipar aku.” Naim gelak sakan bila tengok Akif menjuihkan bibirnya tanda tidak bersetuju.

“Baliklah Kif. Dorang tengah tunggu kau tu, jangan sampai ego membuatkan kau menyesal di kemudian hari. Mungkin bila kau balik nanti, kau akan dapat jawapan mengapa bukan abang Aiman yang jadi calon suami Zuyyin.”  

Pesan terakhir Naim sebelum kakinya melangkah pergi meninggalkan ruang bilik Akif. Meninggalkan Akif bersendirian dalam kekeliruan perasaan yang mencelarukan.

‘Aku tidak tahu aku harus letak Zuyyin di tempat ke berapa dalam kehidupanku. Antara aku dengan Zuyyin, seumpama ada satu tembok pemisah yang sangat tinggi dan kukuh yang menjadi benteng antara kami. Menjalani kehidupan sebagai sepupu sahaja sangat merumitkan, inikan lagi sepasang suami isteri...’

“Kenapa harus aku?! Kenapa bukan abang Aiman yang nyata-nyata menunjukkan kasih sayangnya kepada Zuyyin?! Atuk, kenapa mesti Akif?! Kenapa?!!”  

Akhirnya, saat matanya terpejam rapat, satu keluhan terluah juga di bibirnya.

*************

Abang..”


Hanna duduk di sebelah Aiman yang sedang duduk termenung sendirian di beranda rumah. Abangnya itu mengambil cuti kecemasan, memendekkan “lawatannya” di Singapore semata-mata kerana kesihatan atuk yang membimbangkan. Tapi bila melihat keadaan Aiman sekarang, ternyata Aiman sendiri juga berada dalam keadaan yang membimbangkan.

“Dah bagi atuk makan?” tanya Aiman tanpa memalingkan wajahnya ke arah adiknya.

Dia tidak mahu adiknya yang tengah menuntut di UMS dalam bidang psikologi itu berjaya membaca fikirannya. Kemahiran Hanna dalam membaca fikiran dan menganalisa tingkah laku seseorang kadang-kadang menakutkan. Hanna seolah-olah ahli sihir yang menggunakan kuasa minda, memanipulasi keadaan.

“Ayien tengah bagi atuk makan.” Hanna ikut arah pandangan mata abangnya. Ke tengah jalan raya yang lengang di hadapan rumah. Sesaat kemudian, sepi menguasai suasana antara mereka.

“Abang Akif pergi macam tu sahaja malam tu. Entah dia pergi mana, sampai sekarang ayah masih tak dapat cari dia.” Hanna bersuara, memecahkan kesunyian, sekaligus cuba memancing abangnya terlibat dalam perbualan.

“Biarkan dia. Bila dia sudah tenang, dia sendiri akan pulang.” Masih seperti tadi. Tiada tanda-tanda Aiman akan mengalihkan pandangan matanya dari jalan raya.

“Abang sendiri, dah tenang ke?” soal Hanna tak berlapis. Wajah tenang Aiman di pandangnya. Entah kenapa, dia dapat merasakan yang ketenangan di wajah Aiman, sekadar hanya “topeng” yang mengaburi pandangan matanya.

“Abang okey. Tiada apa yang perlu di tenangkan.” Aiman senyum, tapi senyumannya sumbang dan sudah hilang manisnya, tidak seperti selalu.

“Aiman, Hanna..” Suara Razali yang sedang menghampiri mereka merencatkan perbualan dua beradik itu. Pantas keduanya berpaling ke arah datangnya suara ayah mereka.

“Hanna, pergi buatkan ayah kopi.” Razali duduk di sebelah Aiman. Sengaja meminta secawan kopi dengan Hanna agar dia punya masa berduaan dengan Aiman.

“Baik Yah.”

Hanna yang memahami helah ayahnya pantas melangkah ke dapur, meninggalkan dua beranak itu berbincang. Meskipun dia kurang jelas dengan keadaan sekarang, tapi dia boleh mengagak yang keadaan tegang di rumah ini bukan semata kerana kesihatan atuknya yang semakin merosot namun ada sebab lain. Sebab yang dia sendiri kurang pasti.

“Aiman..” 

Razali mula bicara. Cuba berbincang semula dengan anaknya bila malam itu Aiman diam tidak bersuara dan Akif terus meninggalkan rumah tanpa sempat mereka berbincang apa-apa.

“Aiman okey ayah. Kahwinkan sahaja Akif dengan Ayien jika itulah permintaan atuk.” Aiman bersuara perlahan. Mukanya yang tidak beriak menyebabkan ayahnya tidak mampu menebak isi hatinya sewaktu menuturkan ayat itu.

“Tapi, ayah tak sanggup tengok..”

“Aiman okey ayah. Ayah tak perlu risaukan Aiman.” Aiman bersuara pantas mencantas kata-kata ayahnya.

“Aiman..”

Razali menepuk perlahan bahu anaknya. Dia cuma mampu berharap dan berdoa Aiman akan tabah dan tiada perbalahan berlaku antaranya dan Akif. melihat anggukan Aiman, Razali menarik nafas lega dan bertambah lega dan lapang dadanya bila melihat Toyota Rush biru Akif sedang menuju ke halaman rumah ayahnya.

“Ayah..” 

Akif berjalan laju menuju ke arah ayahnya yang sedang menunggunya di anak tangga paling atas. Di belakang, abangnya berdiri dengan riak wajah yang sukar di tafsir. Pantas, tangan ayahnya di capai dan di kucup memohon maaf atas kebiadapannya beberapa hari yang lepas.

“Maaf Yah.” Bahu Akif di tepuk-tepuk ayahnya bila ayat itu keluar dari bibirnya. Razali mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Akif setuju kahwin dengan Zuyyin..” ujar Akif perlahan. Matanya beradu dengan mata sayu Aiman.

“Alhamdulillah..” ucap Razali kesyukuran sambil meraup tangannya ke wajah.

“Tapi, dengan syarat..” Kali ini, kerutan di dahi Aiman dan ayahnya jelas kelihatan. Perkahwinan dengan syarat?!

“Syarat?!” soal Aiman hairan.

“Ya. Perkahwinan ini cuma untuk..”

“Ayah.!! Atuk…”

Suara jeritan Hanna dari bilik tidur Pak Mustakim mengejutkan mereka. Sesaat mereka berpandangan sebelum masing-masing membuka langkah laju menuju ke bilik Pak Mustakim. Dan ketika mereka tiba, Zuyyin tengah memangku Pak Mustakim dengan juraian air mata di pipi yang semakin lebat. Di sisinya, Hanna juga tersedu tanpa menahan air mata yang mengalir laju.

Maria yang baru tiba selepas mendengar jeritan Hanna dan bunyi derap kaki berlari tadi berdiri di tepi anak lelakinya yang hanya mampu tercegat di muka pintu. Sekalipun Aiman seorang doktor, namun tiada apa yang mampu dia lakukan saat ini selain pasrah dan menyerah kepada yang Esa.

“Ayah..”

Demi melihat rentak di dada ayahnya yang semakin perlahan, Razali mengambil alih tempat Zuyyin memangku ayahnya. Mengusap penuh kasih sayang dahi ayahnya yang berpeluh sambil membisikkan kalimah syahadah di telinga ayahnya. Mulut Pak Mustakim terkumat-kamit mengikut suara Razali yang berbisik di telinganya. Perlahan, matanya terpejam rapat dan tangannya di genggaman Razali semakin melonggar sebelum terkulai layu. Rentak dadanya semakin perlahan, perlahan dan terus berhenti sepenuhnya.

“Atuk dah tak ada..”Sebak suara Razali menahan tangis.

Ketika tangan atuknya di qiamkan oleh Pak Longnya, selimut di tarik ke atas hingga menutupi batang tubuh datuknya, tangisan Zuyyin pecah juga akhirnya. Kini, dia adalah anak yatim piatu, sebatang kara di dunia ini. Hanna yang juga basah dengan air mata, menarik Zuyyin ke dalam pelukannya. Cuba berkongsi dengan kesedihan yang di alami Zuyyin.

"Zuyyin.." 

Tangisan Zuyyin yang masih berlagu terhenti seketika bila suara Akif menyapa gegendang telinganya. Matanya beradu dengan pandangan sayu Akif dan Aiman silih berganti sebelum dia melepaskan pelukan Hanna. Perlahan langkah kakinya di bawa ke bilik air, mengambil wuduk. 

'Bukan ini caranya bersedih...' 

Zuyyin capai Yassin di tepi katil, di bawa ke bilik atuknya. Ketika dia memulakan bacaan, Hanna juga sudah bersimpuh di tepinya. Mereka memulakan bacaan dengan suara tersekat-sekat menahan sendu.

***********
Zuyyin dan Hanna sedang mengemas pinggan mangkuk yang baru di gunakan untuk kenduri tahlil ke dalam rak yang tersedia. Hanya mereka berdua dan Mak Long Marianya yang bekerja kerana Hanni yang menuntut di Matrikulasi sudah kembali semula ke kolejnya itu semalam. Nasib baiklah Hanni sempat tiba sebelum datuk mereka di kebumikan seminggu yang lepas.

"Minum bang, Akif. Aiman mari minum," Maria letak dulang air dan kuih lapis di atas meja. Jam di dinding hampir ke pukul 10 bila mereka usai berkemas. Aiman yang sedang berdiri di serambi pintu berjalan menuju ke arah mereka dan mengambil tempat di sebelah Akif.

"Zuyyin, mari sini nak." Razali menggamit anak saudaranya yang baru keluar dari pintu dapur bersama Hanna. Zuyyin dan Hanna berpandangan sebelum melangkah bersama menuju ke ruang tamu.

"Kenapa Pak Long?" Tanya Zuyyin sopan. 

Sejujurnya, dia berasa rimas duduk di kalangan keluarga itu lebih-lebih lagi bila mata Mak Longnya itu seperti mata helang yang tajam, yang akan menyambarnya bila-bila masa sahaja.

"Ayien ingatkan wasiat atuk?" Soal Razali perlahan. Melihat anggukan Zuyyin yang, dia menyambung patah ayatnya.

"Bulan hadapan, kita langsungkan pernikahan Akif dan Zuyyin." ujar Razali.

"Bulan depan?!" 

Serentak Akif dan Zuyyin bertanya. Bukan mereka berdua sahaja yang terkejut, Maria dan Hanna juga terkejut. Lebih-lebih lagi Aiman. Dari ekor mata, Hanna melihat wajah abangnya yang berubah riak. 

'Mungkinkah abang Aiman sukakan Ayien?!' Hanna tiada jawapannya.

"Iya, bulan depan." Muktamad! 

Zuyyin dan Akif saling bertukar pandang. Bulan berdepan bermaksud lagi dua minggu. Tiba-tiba Zuyyin rasa gerun! Dan ketika matanya bertembung dengan mata Aiman, Zuyyin cuma mampu tersenyum pahit. Membalas pandangan mata redup penuh kesayuan Aiman yang tidak di fahami oleh Zuyyin.


Korang Comel Kalu Korang Like

7 comments:

cikpah said...

nak lagi!!!

CikLaila said...

nk lagi.. best citer nyer... smbung panjang2 sikit...

CikLaila said...

nk lg... panjang2 taw.. best sgt cite nie

Anonymous said...

nak lagi!!!!! best la citer nie...

Wild Cherry said...

cepat gak dorang nak nikah... tinggal lagi 2 minggu je... hahaha

strawberry.chocolate81 said...

assalamualaikum Cik Gadis......Maya nak tnye sbb Maya confuse...dh banyak kali bace tp tetap juga pening....ape hubungan ayah Akif dgn mak Yeyen?adik beradik susuan ke? Maya faham dia anak angkat. kalo adik beradik susuan jd, Akif mn leyh kawen ngan Yeyen...tolong jelaskan...Maya pening huhuhu

Safrani Ridwana said...

Ouh, kirenya ayah akif dgn mak zuyyin adik beradik susuan kan ? So, akif dgn zuyyin spupu susuan lah,, still boleh kawin :)
mecabar Minda lah ,, like it ! Best story .